Fenomena air pasang: 41 mangsa dipindahkan di Kudat
KOTA KINABALU - Seramai 41 mangsa daripada lapan keluarga di Kudat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan fenomena air pasang besar dan ombak tinggi melanda kampung di pesisir pantai itu, pada Rabu.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, mereka yang merupakan penduduk kampung Sri Aman dan Tanjung Kapor ditempatkan di PPS Dewan Arena Belia dan Sukan Kudat yang dibuka pada jam 11 malam tadi.
"Air pasang berada pada paras bahaya dan anggota daripada agensi terlibat memberi nasihat kepada penduduk kampung agar mengambil langkah berjaga-jaga kerana air pasang yang tinggi dan berbahaya," demikian menurut kenyataan itu.
Fenomena itu turut menyebabkan dua rumah roboh sementara lima lagi hampir tumbang apabila air pasang besar mula naik pada 8.30 malam dan melebihi paras bahaya.
Sementara itu di Kota Kinabalu, air pasang besar diikuti angin kencang menyebabkan ombak membadai kawasan Pantai Tanjung Lipat sekitar 7 malam namun surut pada 11.50 malam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!