Darurat hanya untuk tangani Covid-19, bukan tujuan lain: Suhakam

Anggota polis dan tentera akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pelaksanaan semula PKP- Foto Bernama
Anggota polis dan tentera akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pelaksanaan semula PKP- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangan berkenaan pengumuman Proklamasi Darurat baru-baru ini oleh kerajaan yang bermula 11 Januari hingga 1 Ogos ini.

Menurut Suhakam, Proklamasi Darurat yang dikeluarkan bagi membendung wabak Covid-19 tidak boleh dijustifikasikan memandangkan kerajaan baharu sahaja melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 hingga 26 Januari ini.

"Suhakam mengambil maklum terdapat peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa bulan ini, walau bagaimanapun, langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pematuhan yang ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh rakyat dilihat mencukupi untuk membendung penularan wabak tersebut.

"Suhakam juga mengambil maklum bahawa dalam tempoh darurat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan ditangguhkan (digantung) sehingga dimaklumkan kelak.

"Namun, Suhakam menekankan bahawa Parlimen adalah institusi utama demokrasi dan merupakan badan yang diamanahkan dengan fungsi pengawasan bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rakyat.

Kenyataan yang dikeluarkan Suhakam pada Rabu malam.
Kenyataan yang dikeluarkan Suhakam pada Rabu malam.

”Melihat kepada pengumuman ini, Suhakam bimbang tentang ketiadaan semak imbang terhadap penumpuan kuasa eksekutif kerajaan sepanjang tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Sehubungan itu, Suhakam menggesa kerajaan agar mendukung tugas dan tanggungjawab mereka dalam menghormati kedaulatan undang-undang serta terus melindungi kebebasan asasi rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam usaha mengawal wabak ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut badan itu lagi, darurat seharusnya berpandukan prinsip hak asasi manusia dan tidak patut digunakan untuk tujuan lain, selain daripada menangani wabak Covid-19.

"Malah, Suhakam turut menyeru kerajaan untuk mengatur langkah-langkah yang efektif bagi menyokong pemenuhan hak ekonomi dan sosial rakyat terutamanya golongan rentan yang terjejas oleh darurat dan perintah kawalan pergerakan.

"Langkah-langkah ini termasuk peruntukan sokongan kelangsungan hidup, makanan, pendidikan, perlindungan sosial dan kesihatan," kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos

Keputusan darurat utamakan rakyat dan negara: Pas

Perisytiharan darurat tidak boleh dicabar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!