Polis cari 'Datuk' pukul pengurus restoran
PETALING JAYA - Polis sedang mengesan individu bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes pukul seorang pengurus di sebuah restoran di Tropicana Avenue di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 31 tahun dipukul kerana menegur suspek yang membuat bising di dalam restoran berkenaan pada jam 8.30 malam.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323, 503 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, beberapa video menunjukkan suspek memukul seorang lelaki di restoran berkenaan tular di media sosial sejak kelmarin.
Suspek dipercayai bercakap dengan suara bernada tinggi, sebelum mangsa menegurnya kerana membuat bising.
Suspek yang tidak puas hati bertindak memukul mangsa, kemudian keluar dari restoran berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!