Dana RM90j: Orang Pas beli banglo, Porsche, Vellfire?
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan kepada pembelian aset mewah seperti kereta, motosikal berkuasa tinggi dan banglo dipercayai milik beberapa pemimpin Pas dalam siasatan membabitkan dana RM90 juta.
Menurut sumber SPRM, agensi tersebut telah mengenal pasti beberapa pemimpin Pas menggunakan kereta mewah dan juga membeli rumah banglo.
"Sekurang-kurangnya lapan pemimpin Pas akan dipanggil ke siasatan ini," katanya kepada portal Malaysiakini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Dana RM90 juta: Nik Abduh hadir SPRM beri keterangan
Duit dari poket sendiri, kata Abdul Hadi
Dana RM90 juta: Nasharudin serah dokumen kepada SPRM
Sumber berkenaan turut menyebut "seorang bekas pemimpin Pas didakwa memiliki kereta-kereta mewah bernilai hampir RM1.5 juta dan sebuah rumah banglo berharga RM3 juta di Bangi," katanya.
"BMW525, Mini Cooper, Toyota Vellfire, Toyota Camry dan Toyota Fortuner. Laporan memberitahu beliau membeli kereta-kereta mewah ini secara tunai," tambah sumber yang mengetahui butiran siasatan itu.
Memetik sumber tersebut, tujuh pemimpin lain didakwa menyalahgunakan dana membeli Porsche Cayman, Range Rover, Audi A6, Toyota Vellfire dan Toyota Altis, Volkswagen Passat, Audi Q7, Mercedes Benz, motor BMW dan sebagainya.
"Turut dalam radar adalah pembelian nombor plat VIP oleh pemimpin-pemimpin ini.
“Dipercayai sekurang-kurangnya dua pemimpin Pas membelanja hampir RM100,000 setiap seorang untuk membeli nombor plat VIP ini," katanya lagi.
Suruhanjaya itu hari ini memanggil bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberikan keterangan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa dilaporkan turut dipanggil untuk memberi keterangan hari ini bagaimanapun beliau memaklumkan berada di Kelantan dan mendakwa tidak dimaklumkan berkaitan perkara itu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata, parti itu terbuka dan sedia bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan itu.
Beliau juga menegaskan kewangan Pas disumbangkan oleh anggota-anggotanya yang mencecah angka sejuta orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!