Tiga cedera kereta dinaiki dihempap pokok

Sebatang pokok tumbang dan menghempap dua buah kereta di Jalan Tenglu Laut, Mersing pada Khamis.
Sebatang pokok tumbang dan menghempap dua buah kereta di Jalan Tenglu Laut, Mersing pada Khamis.
A
A
A

MERSING - Seorang lelaki dan dua wanita cedera apabila dua kereta dinaiki masing-masing dihempap pokok tumbang di Jalan Tenglu Laut, di sini pada Khamis.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Amir Hamzah Haris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menimpa Mujahid Muhadi, 21, dan Azealia Musfirah Nordin, 31, yang menaiki Proton Saga Aeroback serta Fatin Nazira Mohd Asri, 27, yang menaiki Perodua Myvi menerusi talian terus ke balai pada 7 pagi.

“Sejurus tiba di lokasi, dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 12 anggota mendapati terdapat sebatang pokok berketinggian 30 meter dengan ukur lilit tiga meter telah tumbang dan menghempap dua kenderaan berkenaan.

“Ketiga-tiga mangsa sudah dikeluarkan daripada kenderaan mereka oleh orang awam sebelum bomba tiba,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Amir Hamzah berkata, Mujahid dan Azealia Musfirah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Mersing dengan menaiki EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, manakala Fatin Nazira dibawa ke hospital sama menggunakan ambulans hospital tersebut.

Beliau berkata, pihaknya kemudian bertindak memotong dan membersihkan pokok tumbang tersebut dengan menggunakan dua gergaji rantai dan operasi terbabit tamat sepenuhnya pada 7.50 pagi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!