Jeritan selamatkan nyawa...

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Dua perompak yang menyamun dan memukul seorang lelaki, berjaya ditahan orang ramai, selepas mereka mendengar jeritan mangsa dalam kejadian di Taman Pelangi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, dua lelaki dengan seorang daripadanya warga Indonesia telah memasuki rumah sewa mangsa yang berusia 25 tahun itu.

"Mereka yang bersenjatakan pisau telah mengugut mangsa agar menyerahkan telefon bimbit dan wang, dan lelaki yang ketakutan itu, memberikan telefon bimbitnya serta wang tunai RM250 kepada suspek," katanya.

Katanya kedua suspek berumur 30-an itu turut bertindak memukul mangsa, sebelum lelaki berkenaan menjerit meminta tolong dan jiran-jirannya yang mendengarnya, memberikan bantuan, sebelum orang ramai berjaya menahan suspek.

Nik Ros Azhan berkata mangsa yang mengalami kecederaan di kepala menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam, manakala dua lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan, keberanian dan kerjasama orang ramai yang membantu mangsa, serta berjaya menahan dua suspek berkenaan," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!