Kontraktor diingatkan ambil pekerja binaan sah berdaftar

Penguatkuasa CIDB menjalankan pemeriksaan bagi memastikan semuanya mengikut peraturan ditetapkan.
Penguatkuasa CIDB menjalankan pemeriksaan bagi memastikan semuanya mengikut peraturan ditetapkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan majikan supaya mengambil pekerja berdaftar atau mempunyai dokumen yang sah bagi mengelak dikenakan tindakan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, CIDB menegaskan majikan yang didapati mengambil pekerja yang tidak berdaftar atau mempunyai dokumen palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib yang boleh mengakibatkan pendaftaran kontraktor terbabit digantung atau dibatalkan.

“Majikan perlu peka dan berwaspada dengan status pekerja binaan yang tidak berdaftar dan tidak diperakui tahap kompetensi mereka untuk melakukan kerja-kerja pembinaan kerana ia boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan mengenai sindiket pemalsuan dokumen imigresen, iKad dan Kad CIDB palsu baru-baru ini.

Menurut CIDB, pengesahan maklumat pekerja boleh dilakukan dengan cepat dan mudah menerusi Direktori Personel Binaan di laman web Sistem Pengurusan Maklumat Setempat CIDB (CIMS), cims.cidb.gov.my.

“Mengikut Akta 520, semua pekerja binaan mesti berdaftar dengan CIDB bagi menjalankan kerja-kerja di tapak bina. Individu yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa pendaftaran yang sah boleh didenda tidak melebihi RM5,000,” jelasnya.

Kontraktor juga berdepan dengan tindakan tegas jika terlibat dengan pemalsuan dokumen dan sengaja mengambil pekerja binaan yang memiliki kad palsu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!