Agong, Permaisuri santuni mangsa banjir di Pekan
PEKAN- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyantuni mangsa-mangsa banjir sekitar daerah ini pada Khamis.
Menerusi kenyataan Facebook Istana Negara, dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda berdua menggunakan sampan untuk meninjau situasi banjir di Kampung Acheh.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua juga turut berkenan melawat dan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh dan Balairaya Kampung Acheh.
"Baginda amat prihatin dengan musibah dihadapi mangsa banjir apabila berkenan mengurniakan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana itu.
"Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa buah kampung di sekitar Pekan, yang terjejas banjir," jelas kenyataan itu.
Turut berangkat pada lawatan itu, anakanda-anakanda baginda berdua, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.
"Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda berdua terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.
"Baginda turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini segera pulih dan tidak berlanjutan," kata kenyataan itu lagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!