Hukuman jel 20 tahun bekas Presiden Korea Selatan kekal
SEOUL - Sebuah mahkamah tertinggi Korea Selatan menyokong mengekalkan hukuman penjara 20 tahun yang dijatuhkan ke atas bekas Presiden negara itu, Park Geun-hye pada Khamis dalam satu keputusan muktamad berhubung satu kes rasuah.
Keputusan itu menamatkan proses undang-undang yang sebelum ini melibatkan banyak perbicaraan dan rayuan termasuk di Mahkamah Agung negara berkenaan.
Geun-hye, 88, yang merupakan bekas Presiden wanita pertama negara berkenaan didakwa pada tahun 2017 selepas berlakunya protes besar-besar bagi menentang pemerintahannya.
Dia disabitkan kesalahan pada tahun 2018 kerana melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa menyebabkannya dipenjarakan selama 30 tahun.
Geun-hye kemudian membuat rayuan dan kes dibicarakan semula sebelum dia mengemukakan sekali lagi rayuan menyebabkan hukuman penjarannya dikurangkan kepada 20 tahun.
Pada Khamis, Mahkamah Agung Korea Selatan mengesahkan ia menerima hukuman 20 tahun penjara yang telah dijatuhkan ke atas bekas Presiden tersebut.
Mahkamah turut menyokong denda dan bayaran penalti berjumlah AS$19.5 juta (RM78.84 juta) yang dikenakan ke atasnya.
Bagaimanapun, Geun-hye memboikot prosiding itu dengan menyatakan perbicaraan kesnya itu berat sebelah.
Tambahan pula, dia dihukum penjara dua tahun secara berasingan kerana melanggar undang-undang pilihan raya.
Hukuman keseluruhan Geun-hye kini adalah sebanyak 22 tahun dan dia akan berumur 90 tahun ketika bekas Presiden itu keluar dari jel.
Bekas pemimpin itu sebelum ini didakwa menerima rasuah bersama rakan rapatnya, Choi Soon-sil.
Mereka menerima rasuah daripada syarikat-syarikat konglomerat termasuk Samsung Electronics bagi mendapatkan layanan istimewa. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!