Mohon mangsa banjir di Johor diberi diskaun 50 peratus untuk bil air

Rosleli dan anggota APM membantu mangsa banjir membersihkan rumah yang kotor dengan tanah dan lumpur di Kampung Tembioh, Kota Tinggi, pada Khamis.
Rosleli dan anggota APM membantu mangsa banjir membersihkan rumah yang kotor dengan tanah dan lumpur di Kampung Tembioh, Kota Tinggi, pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Ranhill SAJ diminta mempertimbangkan diskaun sehingga 50 peratus untuk bayaran bil air kepada mangsa banjir di Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, potongan itu bagi meringankan beban mereka yang banyak menggunakan air untuk mencuci rumah atau premis masing-masing.

"Pengguna banyak menggunakan bekalan air SAJ untuk mencuci kotoran akibat banjir yang berlaku dua kali. Saya amat simpati dan merasai beban penduduk kerana terkesan membayar bil air yang tinggi.

"Hampir 250 keluarga di kawasan Johor Lama khususnya di Taman Aman, Taman Mawai, Kampung Makam, Kampung Tembioh dan pusat bandar Kota Tinggi mengalami banjir buruk serta lumpur yang berulang sejak 15 tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong membersihkan rumah di Kampung Tembioh di sini pada Khamis.

Kira-kira 30 sukarelawan terlibat dalam program berkenaan termasuk Agensi Pertahanan Awam (APM) Kota Tinggi, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kota Tinggi dan penduduk Kampung Tembioh.

Rosleli turut menyampaikan sumbangan barang keperluan harian serta bahan pembersihan rumah kepada lima ketua keluarga di kampung berkenaan yang terjejas teruk akibat banjir.

Rosleli berharap, nasib dan kebajikan mangsa banjir terbabit perlu diutamakan kerana sebelum ini mereka turut terkesan akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!