Hujan lebat di Sabah, Sarawak hingga Ahad
KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Sandakan, Sabah melibatkan kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan hingga Jumaat.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran cuaca waspada peringkat kuning di Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah serta Kudat di Sabah dengan hujan lebat dijangka berlaku bagi tempoh sama.
Menurut beliau, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat juga diramal berlaku bermula Jumaat hingga Ahad (17 Januari) membabitkan kawasan Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang di Sarawak serta pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat Sabah dan Labuan.
“Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan dalam tempoh tersebut.
Angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter pula boleh berlaku di perairan Sabah Timur.
Kejadian itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!