Hidup seorang diri dalam serba daif
BATU PAHAT - ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’, itu peribahasa yang tepat bagi menggambarkan kesusahan dialami seorang warga emas apabila perlu hidup di dalam rumah yang serba daif sejak 10 tahun lalu di Kampung Paya, Yong Peng dekat sini.
Malah, Sidek Ab Rahman, 73, hanya mampu melihat sahaja bahagian dapur dan bilik di rumahnya itu basah setiap kali turun kerana tidak larat menadah air hujan yang menitis daripada bumbung yang bocor dengan besen apabila kudratnya tidak sekuat dulu lagi.
Ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini, Sidek yang hidup keseorangan selepas isterinya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu berkata, dia tidak mempunyai pendapatan untuk membaiki rumahnya setelah tidak mampu bekerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Saya terpaksa berhenti mengambil upah memotong kain lebihan dari sebuah kilang berhampiran untuk dijadikan kain perca...lebih-lebih lagi saya juga tidak boleh duduk dalam tempoh yang lama, penglihatan juga bermasalah menyukarkan kerja-kerja memotong kain,” katanya.
Sidek berkata, hanya bahagian ruang tamu sahaja yang masih elok kerana pernah dibaiki sekitar tahun 2016 apabila dia menerima bantuan kerajaan ketika itu, bagaimanapun dinding dapur dan bilik sudah mulai mereput.
Sementara itu, penderitaan Sidek mendapat perhatian daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Belia Maju Bersatu yang menghulurkan bantuan Selasa lalu, ekoran warga emas berkenaan turut menjadi mangsa banjir sejak 2 Januari lalu.
Penyelarasnya, Joni Muhamat Yahya berkata, pihaknya bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Ayer Hitam serta Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) membantu meringankan beban warga emas terbabit dengan bergotong-royong menukar bumbung rumahnya.
“Selain itu, kami turut mengecat dinding rumah serta memberikan sumbangan barangan keperluan untuk Sidek. Pada masa sama, kami juga akan merujuk dengan agensi kebajikan bagi bantuan bulanan Sidek memandangkan dia kini tidak mempunyai pendapatan lagi,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Sidek boleh berhubung dengan Joni di talian 012-758 1949. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!