Lelaki jatuh Sungai Sabak ditemui lemas
BAGAN DATUK - Seorang lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sabak di Jambatan Sabak Bernam ditemui lemas pada Khamis.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Rozali Uyop berkata, mayat mangsa ditemui terapung pada jam 10.50 pagi selepas lebih dua jam operasi mencari dan menyelamat bermula.
"Mayat mangsa ditemui anggota penyelamat yang melakukan pencarian di permukaan air.
"Mangsa ditemui terapung dan dihanyutkan kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi turut disertai tujuh anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!