MATTA gesa kerajaan ambil langkah proaktif selamatkan syarikat pelancongan
SHAH ALAM - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan supaya mengambil langkah proaktif yang lebih baik serta bersasar dalam usaha menyelamatkan syarikat agensi pelancongan negara susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri pada Rabu.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, antara usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah memberikan pelanjutan moratorium pinjaman kepada syarikat terbabit dan meningkatkan tempoh program subsidiari hingga 30 Jun 2021.
Menurutnya, pemberian pelepasan sewa dan yuran pelesenan serta insurans juga perlu dilakukan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas teruk semasa PKP.
"Perniagaan pelancongan pada masa ini berada dalam kesusahan yang sangat teruk kerana persekitaran perniagaan yang sangat rapuh dan tidak menentu yang dijangka berterusan hingga akhir tahun 2021.
“Ejen pelancongan cuba bertahan dengan masalah pendapatan dan kecairan yang teruk sejak awal pandemik dan usaha kerajaan dilihat tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap industri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Kok Liang berkata, kerajaan seharusnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan permasalahan kewangan yang dihadapi oleh syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan yang berkaitan dengan segera melakukan penyemakan semula terhadap Undang-Undang Industri Pelancongan 1992.
Katanya, langkah praktikal lain yang dicadangkan ialah memberikan kelonggaran terhadap persetujuan untuk penukaran bas pelancongan menjadi kategori lain bagi digunakan untuk tujuan lain.
"Sektor pelancongan negara perlu membebaskan dirinya daripada karenah birokrasi yang terlalu banyak kerana ia didapati telah memberikan kesan kepada daya saing industri tersebut sama ada di peringkat serantau mahupun global.
“Ia bukan lagi ‘business as usual’ ketika pandemik Covid-19 ini. Kami mendesak pelbagai agensi kerajaan untuk segera membuat perubahan besar terhadap dasar yang digunakan bagi meringankan beban kewangan industri paling terjejas di Malaysia ketika ini," katanya.
Sementara itu, Kok Liang turut menggesa syarikat pelancongan yang terjejas supaya dapat melakukan penggabungan dan pada masa sama kerajaan juga perlu melaksanakan inisiatif program pemulihan sebagai langkah persediaan sekiranya keadaan semakin buruk.
Katanya, antara cadangan lain yang dikemukakan oleh MATTA adalah menggesa syarikat pelancongan yang terjejas supaya melakukan penggabungan, pelaksanaan inisiatif program pemulihan oleh kerajaan dan membolehkan ejen pelancongan untuk bekerja dari rumah.
"Selain itu, MATTA turut meminta kerajaan supaya membatalkan program mandatori Travel & Tours Enhancement Course (TTEC) kepada syarikat pelancongan dan memberikan peruntukan untuk program melatih semula pekerja yang meluas dan tidak hanya terhad kepada pekerja industri penerbangan seperti yang terdapat dalam Belanjawan 2021," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!