22 keluarga berteduh di surau selepas setinggan diroboh

Pada malam pertama perobohan.
Pada malam pertama perobohan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nasib malang buat 22 keluarga yang hilang tempat berteduh selepas rumah sewa mereka terletak di setinggan bersebelahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam dirobohkan pada Selasa.

Mereka terpaksa bermalam dalam khemah pada malam pertama perobohan yang kebetulan jatuh pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di lima negeri termasuk Kuala Lumpur.

Prihatin dengan nasib penduduk, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) kemudian tampil pada Rabu dan menempatkan mereka di surau PPR Seri Alam buat sementara waktu sehingga penduduk mendapat kediaman kekal.

PPZ-MAIWP menempatkan penduduk di surau PPR Seri Alam buat sementara waktu.
PPZ-MAIWP menempatkan penduduk di surau PPR Seri Alam buat sementara waktu.

Wakil penduduk, Badrul Hisham Abdul Jalil, 30 berkata, penduduk bersyukur diberikan penempatan sementara berserta kemudahan asas lain sejak dibenarkan berteduh di surau berkenaan.

Menurutnya, mereka buntu dan tiada arah untuk dituju selepas diarahkan mengosongkan kawasan setinggan itu dalam tempoh seminggu oleh pemilik tanah berkenaan menerusi notis mahkamah.

"Dalam tempoh itu, kami ada ikhtiar pergi ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk permohonan rumah PPR atau Perumahan Awam (PA), namun sehingga kini belum ada jawapan.

"Saya sedikit terkilan juga kerana dalam keadaan terdesak ini, permohonan kami masih tergantung sehingga kami terpaksa bermalam dalam khemah ketika malam PKP 2.0 dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Penduduk mendirikan khemah berteduh pada malam pertama perobohan.
Penduduk mendirikan khemah berteduh pada malam pertama perobohan.

ARTIKEL BERKAITAN: Diarah pindah segera, penduduk setinggan rayu bantuan DBKL

Beliau berkata, penduduk masih berharap untuk DBKL mempertimbangkan permohonan penempatan ke PPR atau PA memandangkan rata-rata penduduk di kawasan tersebut dalam kategori miskin bandar.

"Pihak PPZ-MAIWP memaklumkan akan bantu kami carikan rumah sewa sementara menunggu jawapan permohonan DBKL.

"Saya harap ada penyelesaian segera, bimbang jika terlalu lama menumpang di surau akan menyebabkan kluster dalam kalangan penduduk pula," katanya.

Tempat penduduk tidur pada malam pertama perobohan.
Tempat penduduk tidur pada malam pertama perobohan.

Pada 4 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan penempatan setinggan dihuni kira-kira 50 penduduk yang menyewa rumah daif itu dengan kadar RM150 sebulan di atas tanah Lot 507 bersebelahan PPR Seri Alam.

Penduduk memohon bantuan DBKL bagi penempatan PPR atau PA selepas diberikan tempoh seminggu untuk mengosongkan kawasan milik persendirian tersebut.

Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklum balas berhubung isu tersebut daripada DBKL.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!