PKP: Pertimbang bantuan kewangan kepada peniaga terjejas

Peniaga, Mohd Ariff, 24, menunggu pelanggan ketika meniaga di tepi jalan bagi menjana pendapatan ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar kawasan ibu kota pada Khamis. - Foto Bernama
Peniaga, Mohd Ariff, 24, menunggu pelanggan ketika meniaga di tepi jalan bagi menjana pendapatan ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar kawasan ibu kota pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) berharap kerajaan dan bank akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan dan langkah bantuan kepada perniagaan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua.

Ini terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga kecil, peruncit dan sektor perjalanan dan pelancongan, demikian menurut Presiden NCCIM Tan Sri Ter Leong Yap.

NCCIM dalam kenyataannya pada Khamis menyarankan bank untuk terus menghulurkan sokongan dengan memudahkan obligasi pembayaran semula pinjaman kepada peminjam ekoran situasi semasa.

Leong Yap turut menggesa kerajaan untuk melanjutkan program subsidi upah untuk membantu sektor yang terjejas selain pelancongan dan runcit seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 di samping menyediakan geran kewangan sekali beri kepada peniaga kecil dan perusahaan mikro.

Katanya, kerajaan juga diharapkan dapat memberi pelepasan sewa dan diskaun elektrik, membenarkan pembayaran baki cukai tahun taksiran 2020 dan 2021 secara ansuran selama tiga bulan dan menyediakan subsidi ke atas kos pemvaksinan pekerja asing untuk perniagaan, terutamanya PKS.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan peraturan darurat perlu dikendalikan dengan berhati-hati dan dikuatkuasakan secara telus dan disampaikan dengan baik untuk memupuk keyakinan dan meredakan ketidakpastian pelabur.

Malahan, katanya, apa yang lebih penting, ia perlu ditamatkan apabila perintah darurat telah mencapai matlamatnya berikutan tempoh darurat yang berlarutan akan menjejaskan prospek pelaburan swasta.

“Ketika tempoh darurat ini, pertimbangan paling penting adalah komunikasi yang efektif dan penyebaran maklumat.

Artikel Berkaitan:

“Dalam hal ini, libat urus kerajaan dan pengawal selia bersama-sama industri adalah penting sebelum pelaksanaan dasar awam dan perintah ordinan baharu untuk mengurangkan gangguan kepada perniagaan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!