Wanita nekad kejar peragut

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita nekad mengejar penunggang motosikal yang meragut beg tangannya sejauh lebih 3 kilometer (km) dalam kejadian pada Rabu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa berusia 45 tahun menunggang motosikal berseorangan di Jalan Padang Negara di sini.

Menurut sumber, difahamkan ketika di lokasi itu, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki menghampiri mangsa dan suspek meragut beg tangannya yang diletakkan dalam bakul motosikal.

"Mangsa mengejar peragut tersebut yang menghala sehingga ke Kampung Banggol Kuala Ibai di sini iaitu jarak antara lokasi kejadian lebih 3km.

"Namun mangsa gagal menjejaki motosikal suspek sekali gus tidak berjaya mendapatkan semula beg tangannya yang mengandungi dokumen pengenalan diri miliknya dan anak-anak serta kad bank dan wang tunai berjumlah RM300, "katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sumber berkata, bimbang dokumen pengenalan diri dan anak-anak disalahguna suspek, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dibuat mangsa yang bekerja sendiri itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!