MPN nafi keluarkan kenyataan berhubung proklamasi darurat
KUALA LUMPUR - Majlis Profesor Negara (MPN) menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung pengisytiharan proklamasi darurat dan mengesahkan kenyataan tersebut adalah palsu.
Presiden MPN, Profesor Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, MPN diwakili para ilmuwan negara menerima dan menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mengisytiharkan proklamasi darurat itu.
‘’MPN telah mengadakan mesyuarat melibatkan pakar-pakar perlembagaan, sains politik dan lain-lain untuk meneliti dan memperhalusi perkara-perkara berkaitan proklamasi darurat, pandangan dari profesor adalah berdasarkan sudut pandangan, keilmuan dan kebitaraan masing-masing.
‘’Namun, pihak MPN melalui mesyuarat itu turut membangkitkan beberapa isu yang mungkin boleh diberikan perhatian khususnya sistem semak dan imbang serta ketelusan dalam pemerintahan negara sepanjang tempoh darurat dilaksanakan,’’ katanya dalam kenyataan pada Khamis.
MPN menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk bersama-sama menentukan tempoh darurat yang dilalui itu benar-benar memenuhi matlamat menangani wabak Covid-19.
Katanya, MPN juga menekankan agar agenda ekonomi terus dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat dipelihara.
Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia dan baginda turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat diturunkan dengan berkesan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!