Pakar beri penjelasan kes kematian Covid-19 tidak diumum KKM
SHAH ALAM - Pakar Anaesthesiologi dan Rawatan Rapi, Dr Nurilyani Bujang menjelaskan bahawa terdapat dua jenis kematian yang melibatkan Covid-19.
Pertama menurutnya, kematian yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19 maka kematian itu akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dimasukkan dalam statistik kematian Covid-19 Kebangsaan.
Beliau berkata, kedua adalah kematian dengan Covid-19 tetapi tidak diumumkan KKM, namun masih termasuk di dalam pemantauan senarai kematian melibatkan virus itu di peringkat kementerian.
“Setiap kematian melibatkan Covid-19 perlu melalui proses semakan dan perbincangan oleh pakar-pakar, barulah laporan kematian dihantar ke Pusat (CPRC Kebangsaan). Jadi kadangkala proses ini akan mengambil masa.
“Waktu perbincangan, mereka akan lihat setiap kes dengan teliti bagi memastikan kematian tersebut disebabkan oleh jangkitan Covid-19 atau sebaliknya.
“Sekiranya kematian adalah disebabkan oleh Covid-19 mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Malaysia (WHO), ianya akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah,” katanya dalam kenyataan di Facebook KKM pada Khamis.
Nurilyani dalam kenyataan dengan kerjasama Pasukan Kematian Covid-19 Kebangsaan itu memberikan beberapa contoh kematian melibatkan Covid-19 seperti kematian akibat kemalangan jalan raya, namun dikesan positif Covid-19 selepas disaring.
Katanya, penyebab kematian itu bukan kerana jangkitan Covid-19 tetapi kemalangan jalan raya.
“Contoh kedua, pesakit dimasukkan ke hospital sebab jangkitan Covid-19 dan dirawat dalam jangka masa yang lama.
“Setelah beberapa minggu atau bulan di hospital, meninggal dunia kerana jangkitan kuman bawaan lain atau pun masalah kesihatan lain.
“Maka pesakit ini pada asasnya bukan kematian yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19. Kes begini akan diteliti oleh pakar-pakar yang merawat bagi memastikan punca kematian sebenar,” katanya.
Beliau berkata, contoh lain, pesakit dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung dan meninggal dunia, namun disahkan positif Covid-19 selepas disaring.
"Kematian itu diklasifikasikan sebagai serangan jantung dan bukan kerana jangkitan Covid-19.
“Kematian disebabkan jangkitan Covid-19 atau dengan Covid-19 (mati sebab lain), jenazah tetap diurus seperti tatacara Covid-19 positif.
“Keluarga dan kotak rapat tetap akan disaring, swab dan kuarantin,” katanya.
Beliau mengulas mengenai aduan di media sosial yang mempersoalkan mengapa kematian yang melibatkan Covid-19, tidak diumumkan KKM tetapi jenazah diuruskan mengikut tatacara Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!