Tindakan bakar Jalur Gemilang melampau
SHAH ALAM - Pemuda Amanah menggesa supaya Kementerian Luar Negara memaksimumkan saluran diplomatik dengan Fiilipina termasuklah memanggil duta negara itu bagi menyatakan bantahan keras terhadap insiden membakar Jalur Gemilang oleh warga Filipina, Elly Pamatog.
Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, langkah itu perlu bagi menunjukkan komitmen Filipina untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang telibat dalam insiden yang boleh mengganggu keharmonian kedua-dua negara.
“Kami (Pemuda Amanah) beranggapan, tindakan itu mampu mengganggu keharmonian dan hubungan kerjasama yang erat antara Malaysia dan Filipina selaku rakan anggota Asean.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bakar Jalur Gemilang: Filipina janji siasat, ambil tindakan
Malaysia kutuk tindakan bakar Jalur Gemilang
“Pembakaran bendera yang dibuat bagi membantah bantuan tentera pengaman Malaysia di Mindanao adalah sangat keterlaluan dan tidak seharusnya menjadi cerminan keadaan sebenar hubungan kedua-dua negara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Sany yang juga ADUN Taman Templer itu lagi, Pemuda Amanah juga mengecam sekeras-kerasnya insiden pembakaran bendera yang menjadi simbol kebanggaan negara itu.
“Perbuatan Elly Pamatong yang juga mendakwa dirinya sebagai pemimpin United States Allied Freedom Fughters of the East adalah bersifat menghina maruah negara yang mana Jalur Gemilang adalah merupakan simbol kebangsaan negara.
“Kestabilan serantau adalah tanggungjawab bersama negara-negara anggota ASEAN dan bantuan yang dihulurkan oleh Malaysia bagi memastikan keamanan di wilayah Mindanao seharusnya dilihat sebagai satu usaha bagi memastikan kestabilan jangka masa panjang di rantau Asia Tenggara,” katanya
Katanya lagi, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menimbulkan kekacauan yang boleh mengganggu hubungan erat antara kedua-dua negara serta memastikan kestabilan rantau Asia Tenggara terus terpelihara.
Terdahulu, penerbitan video kontroversi itu menerusi akaun Facebook 'President Pamatong Supporters' pada 19 dan 21 Januari lalu mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.
Elly Pamatong digambarkan sebagai mengaku pengasas 'United States Allied Freedom Fighters of the East' (USAFFE).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!