Sindiket penipuan guna aplikasi MYBNM perdaya mangsa

Muhammad Yazid
Muhammad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesan modus operandi baharu sindiket Macau Scam untuk menipu mangsa dipercayai dengan hanya memuat turun aplikasi MYBNM.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, Balai Polis Sungai Buloh telah menerima laporan berkaitan penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia pada Rabu.

"Mangsa seorang wanita telah menerima panggilan dari 'scammer' yang menyamar sebagai LHDN yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebelum panggilan kononnya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Muhammad Yazid berkata, mangsa dikatakan terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diarahkan untuk memuat turun aplikasi MYBNM untuk tujuan siasatan.

"Setelah memuat turun aplikasi tersebut dan memasukkan data peribadi serta butiran akaun, mangsa mendapati wang di dalam akaun telah tiada," katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak memuat turun aplikasi berkenaan kerana dipercayai digunakan oleh pihak 'scammer' untuk menipu mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!