Sekampung turun buat saringan Covid-19
TANAH MERAH - Tular di Facebook pada Khamis beberapa gambar menunjukkan penduduk di Kampung Chedok, Bukit Bunga, Tanah Merah di sini keluar untuk menjalani ujian saringan kerana khuatir dijangkiti Covid-19.
Sumber Sinar Harian berkata, langkah itu diambil penduduk selepas kampung itu dipercayai mempunyai kes jangkitan wabak berkenaan yang berkaitan dengan kepulangan perantauan.
"Ada antara penduduk kampung bersebelahan secara sukarela hadir melakukan ujian sama bagi memastikan mereka juga bebas wabak tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Gambar yang menunjukkan penduduk kampung berbaris untuk menjalani ujian tersebut mula tular dan dikongsi pelbagai pihak selain mendapat komen yang pelbagai daripada netizen.
Netizen masing-masing menasihatkan agar mereka melakukan ujian swab tersebut demi keselamatan masyarakat setempat.
Tidak kurang juga yang mendoakan keselamatan mereka dan menasihatkan penduduk kampung supaya sentiasa berhati-hati untuk melakukan sebarang aktiviti harian mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi berkata, maklumat lanjut mengenai kes tersebut akan dimaklumkan pihaknya dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan yang sama, Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut mengumumkan Kelantan mencatatkan pertambahan 85 kes baharu sehingga jam 12 tengah hari Khamis.
Pertambahan kes tersebut amat membimbangkan banyak pihak terutama kerajaan negeri yang telah memberi amaran awal jika jumlah kes tersebut tidak berkurangan, kemungkinan besar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga dilaksanakan di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin dalam satu entri Facebook beliau turut mengingatkan sekali lagi supaya rakyat sentiasa menjaga keselamatan termasuk membatalkan program yang tidak sepatutnya dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
“Semua program badan bukan kerajaan (NGO), persendirian dan lain-lain yang tidak terlalu penting dan melibatkan perkumpulan ramai mohon ditangguhkan dulu. Dua minggu sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!