Empat calon AWETA jalani simulasi ekspidisi Antartika
SHAH ALAM - Empat calon peserta Misi Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) yang kini berada di Oslo, Norway akan memulakan latihan berhadapan dengan cuaca sejuk melampau pada Ahad ini.
Ketua Ekspedisi, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir berkata, kesemua calon tersebut akan menjalani latihan secara teori selama dua minggu termasuk latihan amali penggunaan peralatan ski.
Ujar beliau, mereka juga akan dibawa untuk mengembara ke kawasan pergunungan Hardangervida yang menyerupai kawasan Antartika selama tujuh hari.
“Ternyata empat calon peserta AWETA ini memang tidak pernah melalui latihan bersalji yang ekstrem dan mereka kelihatan sangat teruja sejak tiba di sini.
“Latihan pertama ketika sampai di sini ialah mencuba ketahanan badan tanpa memakai jaket yang tebal,” katanya.
Dua daripada empat calon ekspedisi tersebut bakal terpilih untuk menyertai ekspedisi ke Antartika untuk menempuh perjalanan menggunakan ski sejauh 550 kilometer ke titik sifar darjah Kutub Selatan yang dijadualkan Disember ini.
Pasukan berkenaan akan menjadi kumpulan wanita Malaysia pertama yang akan merentasi Antartika jika mereka berjaya menamatkan misi tersebut.
Dalam pada itu, Sharifah Mazlina berkata, mereka sengaja menaiki bas awam sambil membawa beg pakaian yang berat mengharungi salji apabila tiba di stesen keretapi Bandar Oslo menuju ke tempat penginapan.
“Ini adalah latihan asas pengalaman buat mereka dan alhamdulillah tahap kecergasan mereka hebat maka tidak ada masalah untuk suasana asas ini.
“Hari ini, saya akan bawa mereka ke tempat mendapatkan peralatan sambil melihat Bandar Oslo dan ini adalah sebahagian daripada aktiviti pembelajaran mengenai budaya dan kehidupan masyarakat di sini.
“Esok, kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Finse dengan menaiki kereta api selama empat jam setengah dan dijangka sampai pada petang Ahad untuk terus memulakan latihan teori terlebih dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!