AI lahirkan insan berkualiti
PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negara bermula Rabu lalu jelas ada hikmah tersendiri. Pasti ramai yang akan bekerja daripada rumah (WFH).
Sekalipun ada yang sukar untuk menerima PKP 2.0, hakikatnya pandemik Covid-19 harus dibendung. Pasti ada titik putih di sebalik insiden hitam yang kembali membelenggu kotak pemikiran rakyat Malaysia.
Rakyat negara ini sebenarnya sudah jemu dengan gaya kehidupan norma baharu. Mereka mahu bebas lepas tanpa sebarang kawalan pergerakan.
Justeru, penulis berasa teruja apabila membaca berita Daily Mail, akhbar tabloid paling berpengaruh di seantero Britain. Minggu lalu, wartawan terkenal Charlie Walker menjelaskan betapa kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini boleh menentukan hala tuju dan masa depan pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Erling Haaland, Jadon Sancho atau Dele Alli.
Khabarnya, AI boleh menganalisis masa depan pemain bola sepak tertentu sama ada boleh bersinar terang jika pemindahan dibuat mengikut kesesuaian masa dan tempoh tertentu atau sebaliknya mengikut keadaan tertentu.
Dalam keadaan PKP 2.0 ini, kerancakan Liga Perdana Inggeris (EPL) setidak-tidaknya dapat meringankan ketegangan peminat bola sepak. Tidak dapat dinafikan EPL ialah antara liga bola sepak profesional yang ramai peminat di seluruh dunia termasuk di negara ini.
Penulis lebih berminat untuk mengetahui tentang penggunaan AI yang diterjemahkan AI Abacus, sebuah syarikat teknologi tinggi yang berjaya membangunkan aplikasi AI ke dalam pembangunan sukan dunia.
Khabarnya, ia menganalisis lima pemain bintang muda yang sedang diperhatikan pemilik kelab bola sepak Eropah untuk pemindahan Januari atau musim panas ini.
AI meramal Sancho lebih secocok bersama Liverpool. Chelsea pula menarik minat Haaland manakala Eduardo Camavinga kembali ke Arsenal, sambil Alli sukar untuk ke Paris St Germain.
Penulis difahamkan AI Abacus juga mampu meramal keserasian prestasi setiap pemain berdasarkan karakter, gaya permainan dan ketangkasan.
Aplikasi AI itu juga dicipta dengan menilai keserasian antara pemain yang tidak pernah bermain bersama dalam sesebuah kelab. Model keserasian sistem AI menganalisis berjuta-juta petikan permainan dengan bantuan beberapa jurutera pengkomputeran di Universiti Southampton, Britain.
Sebenarnya, penulis mendapati sistem AI boleh melengkapkan maklumat perubahan kemahiran dan gaya seseorang pemain dan keuntungan yang dapat diraih seperti yuran pemindahan, upah dan bayaran perkhidmatan ejen. Kini, timbul satu persoalan di benak pemikiran penulis.
Apakah AI boleh digunakan untuk menganalisis karakter atau kemampuan seseorang tokoh politik? Apakah AI mampu untuk meramal pergerakan atau suhu dan gelombang politik di Malaysia?
Penulis percaya ada kemungkinan keputusan yang digarap tentang karekter seseorang pemimpin boleh dipercayai kredibilitinya kerana ia tidak dijana dengan perasaan berat sebelah atau memiliki kecenderungan untuk berpihak kepada sesebuah tokoh tertentu.
Cemerlang
ALLAH SWT sebenarnya telah mengupas isu ini dalam Surah An-Nahl [16:125] bermaksud, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan bijaksana dan bantahlah mereka dengan cara baik. Sesungguhnya Tuhan mu Dialah lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Penulis yakin AI boleh mengenal pasti pemimpin yang mampu untuk memimpin sesebuah organisasi sehingga ke tahap cemerlang. Seharusnya, AI digunakan dalam menganalisis tahap kecekapan seseorang pekerja juga kerana ia tidak memiliki sikap bias.
Penulis percaya AI juga mampu mengenal pasti pemimpin bijaksana yang boleh memanfaatkan kepakaran pelbagai bidang. Rasanya AI juga mampu melonjakkan sesebuah organisasi jika digunakan secara betul.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!