‘Kedai saka’ pengubat duka ketika pandemik
SEBUT sahaja kedai RM2, pasti ramai yang pernah masuk ke dalam ‘kedai tular’ yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan daripada bayi, kanak-kanak hinggalah orang dewasa.
Walaupun pandemik Covid-19 belum berakhir dan ramai yang terkesan, namun kedai yang menjual barangan dengan harga berpatutan itu semakin bertambah cawangan kerana permintaan ramai lebih-lebih lagi kewujudannya mampu meringankan beban pengguna.
Kedai itu juga mampu membuat golongan wanita tersenyum tatkala dibawa membeli-belah di dalamnya dan tidak hairanlah ia turut digelar sebagai ‘kedai saka’ kerana kebanyakan yang masuk pasti membeli lebih daripada satu barang.
Dalam keadaan ramai yang terjejas, sudah tentu kedai yang meletakkan harga di antara RM2 dan RM2.10 menjadi pilihan ramai kerana dengan harga serendah itu pelbagai barangan sama ada keperluan rumah boleh dibeli dan mudah diperoleh.
Ada di antara barangan yang dijual di kedai-kedai itu membantu memudahkan dan menjimatkan masa, contohnya alat membersihkan kotoran rumah seperti magic span. Biarpun harganya murah namun berkualiti dan boleh mencuci pelbagai kotoran umpama kain kayangan.
Tidak hairanlah dalam dunia teknologi ini, media sosial seperti Facebook juga tidak ketinggalan menjadi tempat pengguna berkongsi ilmu dan barang-barang yang patut dibeli dan dimiliki setiap rumah, sekiranya masuk ke ‘kedai saka’ seperti pencuci lantai, sabun buku, jel pembersih tandas dan banyak lagi.
Kewujudan kedai-kedai murah seperti itu juga dapat mendidik pengguna lebih kreatif terutama dalam ilmu tatarias dan mendeko rumah manakan tidak dengan harga berpatutan ia mampu mencantikkan dinding rumah menggunakan wallpaper pelbagai corak manakala lantai yang kosong menjadi cantik dipasang kepingan vinyl yang kalis air selain bakul-bakul pelbagai bentuk sesuai dijadikan hiasan menceriakan keadaan rumah.
Tidak hairan kedai-kedai ini terus bernyawa kerana ada permintaan disebabkan harga barangnya murah dan menjadi terapi mata terutama golongan wanita disebabkan banyak barangan keperluan bukan sahaja barangan makanan kering seperti bawang boleh dibeli di kedai itu malah barang kegunaan harian seperti sabun, syampu, minyak rambut pelbagai jenama dan bentuk serta permainan juga boleh didapati dengan mudah di kedai berkenaan.
Jangan sampai boros
Tapi apa pun pembelian dan berapa kuantiti barang yang dibeli terserah kepada kebijaksanaan kita sendiri agar tidak boros berbelanja hingga membawa penyesalan.
Walaupun harga setiap barang murah, namun jika dibeli dalam kuantiti yang banyak dan barang-barang yang kurang perlu turut dibeli mungkin boleh berlaku pembaziran.
Namun, penulis percaya ramai pengguna yang bijaksana dan rakyat marhaen terutamanya mampu menarik nafas lega wujudnya ‘kedai saka’ yang sememangnya membantu perbelanjaan termasuk golongan B40 seperti ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai dan mahu membeli alat tulis pasti memang menjimatkan berbanding di tempat lain.
Kalau dilihat dari sudut positif ia bukan sahaja kedai terapi namun boleh menjadi pengikat kasih sayang suami isteri lebih-lebih lagi golongan hawa pasti gembira dibawa ke kedai itu biarpun selalu memberikan harapan palsu hanya sebentar untuk membeli satu barang sahaja tapi kebiasaannya akan keluar lebih dari satu plastik yang penuh berisi barang.
Di sini, kesabaran suami pula diuji bila terkadang terpaksa menunggu lama. Namun di sebalik kesabaran itu sebenarnya telah membuat ada jiwa-jiwa yang tersenyum lebar bila hasrat di hati untuk membeli barangan rumah di kedai tular ditunaikan.
Untuk menggembirakan hati wanita tidak semestinya membawa berbelanja di kedai-kedai mewah, cukup sekadar membeli-belah di ‘kedai saka’ dengan harga murah dan menjimatkan pasti senyuman meleret hingga dalam kereta asalkan kesabaran suami berganda.
Kesabaran amat penting dalam situasi pandemik ini, bukan sahaja ketika menunggu isteri membeli-belah sahaja namun kesabaran itu perlu dalam sebuah rumah tangga yang harmoni.
* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Edisi Melaka/ Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!