Covid-19: Perancis laksana perintah berkurung
PARIS - Kerajaan Perancis akan melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara bermula jam 6 petang sehingga 6 pagi bermula Sabtu ini ekoran kebimbangan akan berlaku peningkatan kes Covid-19, kata Perdana Menteri, Jean Castez pada Khamis.
Perintah itu akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya selama dua minggu, katanya pada sidang akhbar.
Semua perkhidmatan dan kedai-kedai kecuali perkhidmatan kecemasan perlu ditutup pada jam 6 petang itu, tambahnya.
"Virus (Covid-19) merebak dengan aktif," kata Castex.
Perintah berkurung itu akan membolehkan kerajaan mengelak daripada mengambil langkah-langkah yang lebih sukar bagi membendung penularan Covid-19.
"Ia membolehkan kita (kerajaan) mengurangkan interaksi sosial tanpa mengehadkan aktiviti penting," ujar Castex.
Bagaimanapun, situasi di Perancis masih berada dalam kawalan berbanding dengan negara-negara jirannya.
"Namun, ia (Perancis) masih terjejas (akibat Covid-19)," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.
Sekolah-sekolah masih tetap dibuka tetapi aktiviti sukan di dalam bangunan sekali lagi diharamkan.
Dalam usaha untuk membendung penularan Covid-19, Castex memaklumkan, sehingga satu juta pelajar dan guru di sekolah-sekolah akan diuji sama ada mereka positif pandemik itu pada setiap bulan.
Sebelum ini perintah berkurung yang bermula pada jam 8 malam sehingga 6 pagi diperkenalkan buat pertama kali di Perancis pada 15 Disember tahun lalu.
Menurut portal Euro News, negara itu kini mempunyai secara puratanya 16,000 jangkitan baharu Covid-19 pada setiap hari.
Terdapat seramai 24,769 pesakit Covid-19 di seluruh Perancis pada Rabu lalu termasuk 2,711 orang dirawat di unit rawatan rapi hospital-hospital negara tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!