Peniaga Pasar Payang tanggung rugi, pengunjung kurang
KUALA TERENGGANU - Pengunjung Pasar Besar Kedai Payang di sini berkurangan sehingga 70 peratus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan semula bermula 14 hingga 26 Januari 2021.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff berkata, jumlah pengunjung menunjukkan perubahan ketara berbanding hujung minggu lalu.
"Selepas Isnin, tidak berlaku penurunan drastik jumlah pengunjung mungkin boleh kata merosot antara 20 hingga 30 peratus, namun penurunan ketara dapat dilihat selepas penguatkuasaan PKP dan PKPB iaitu selepas hari Selasa.
"Punca penurunan pengunjung dipengaruhi faktor orang luar tidak boleh datang ke sini. Jadi, sepanjang PKPB di Terengganu yang dikuatkuasakan kali ini, kita hanya bergantung kepada kehadiran penduduk tempatan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Zakaria berkata, anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung kebanyakan peniaga kira-kira 75 peratus.
"Ramai peniaga yang terima kesan kerana jualan tidak laku macam orang jual kuih yang biasanya habis dijual dalam jam 10 pagi sehingga petang belum tentu habis.
"Jadi kita harap tempoh dua minggu ini benar-benar dimanfaatkan oleh semua masyarakat untuk terus membantu kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19," katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 bagi tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam pada 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021melibatkan enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Manakala PKP Bersyarat pula dikuatkuasakan ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta PKP Pemulihan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak bagi tempoh sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!