FOMCA gesa kerajaan lebih serius bantu pekerja terjejas PKP 2.0

MARIMUTHU NADASON
MARIMUTHU NADASON
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan memandang serius kesan serta beban yang terpaksa ditanggung ramai pekerja akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, dalam situasi kini bantuan kewangan amat diperlukan dan FOMCA mendesak agar semua perniagaan dan pekerja yang terjejas perlu disokong sekurang-kurangnya dengan gaji minimum untuk menolong mereka menghadapi krisis ini.

Beliau berkata, para pekerja terbabit tidak boleh dibiarkan terkapai seorang diri tanpa sebarang bantuan.

Selain itu katanya, Bank Negara juga digesa untuk memanjangkan moratorium pinjaman sekurang-kurangnya sehingga Ogos ini untuk semua pekerja yang terjejas.

"Lanjutan moratorium pinjaman bank perlu segera dilakukan untuk membantu pekerja yang terkesan dalam PKP 2.0.

"Seterusnya, syarikat insurans juga perlu dilarang dengan segera agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga premium dalam tempoh ini kerana rata-rata pekerja sedang mengalami kesempitan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, ia tidak adil untuk pengguna yang terjejas ekonominya pada ketika ini dan pihak regulator sepatutnya memainkan peranan bukan sahaja sebagai pemerhati tetapi juga sebagai pelindung kepada pihak-pihak yang rentan dan menderita pada ketika ini.

Tambah Marimuthu, dalam pemulihan ekonomi yang perlahan ketika ini, dianggarkan berjuta orang akan mencari pekerjaan khususnya pada tahun ini, oleh itu kerajaan perlu menyokong golongan yang sedang mencari pekerjaan ini sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan yang baik.

Artikel Berkaitan:

"FOMCA tidak menyangkal pelaksanaan PKP dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) merupakan inisiatif kesihatan kepada rakyat tetapi jangan kita lupakan atau abaikan golongan berpendapatan rendah serta yang menderita akibat langkah PKP terdahulu.

"Kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengambil langkah-langkah lebih konkrit dan tegas dalam menyokong soal rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!