Isteri mangsa dikhuatiri lemas akui rasa tak sedap hati

Khadijah ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian, Ipoh pada Jumaat.
Khadijah ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Isteri kepada lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus air longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11, Chemor di sini, meluahkan rasa tidak sedap hati apabila mangsa tidak pulang ke rumah pada Khamis.

Khadijah Din, 59, berkata, dia berasa bimbang apabila suaminya, Ahmad Amin Ismail, 58, yang bekerja di sebuah kilang simen di Tasek turut tidak menjawab panggilannya melalui telefon.

"Sepanjang hari saya berasa tidak sedap, saya cuba hubunginya untuk bertanya mahu makan apa selepas pulang kerja tetapi dia tidak angkat (jawab panggilan).

"Sehingga waktu Maghrib saya tunggu. Saya telah masakkan cucur dan siapkan air panas untuk mandiannya.

"Dia ada maklumkan yang dia mengambil OT (kerja lebih masa) dan sepatutnya jam 7 petang dia sudah sampai rumah," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, perasaan tidak sedap hatinya itu akhirnya terjawab selepas menerima berita daripada polis yang suaminya tidak dijumpai selepas terbabit dalam kemalangan.

Lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sebelum dihanyut arus deras longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 pada khamis. Gambar kecil: Ahmad Amin
Lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sebelum dihanyut arus deras longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 pada khamis. Gambar kecil: Ahmad Amin

"Saya menerima kehadiran polis pada jam 9 malam yang memaklumkan kemalangan itu. Motosikal dijumpai tepi jalan tetapi dia tidak ditemui walaupun melakukan pencarian di hospital.

Artikel Berkaitan:

"Saya risau kalau suami tidak jumpa sebab sudah masuk hari kedua. Harap-harap semua pihak berjaya menemukan suami saya," katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Khairunnisa, 29, berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya pada jam 5 pagi sebelum keluar bekerja.

"Sebelum pergi kerja, ayah ada sapa 'hai' pada saya dan saya 'hai' balik padanya. Itulah kali terakhir saya jumpa dan tengok ayah.

"Saya memang berasa tidak sedap hati sejak tiga hari lalu. Apabila dapat berita ini, kami sekeluarga memang rasa terkejut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang motosikal hanyut dalam longkang

Bomba cari mangsa hanyut di perangkap sampah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!