Mufti Pulau Pinang minta masjid sediakan ruang khas untuk musafir

WAN SALIM
WAN SALIM
A
A
A

GEORGE TOWN - Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta pengurusan masjid dan surau di negeri itu agar menyediakan ruang khusus bagi memudahkan para musafir, pemandu teksi dan penghantar makanan menunaikan solat fardu.

Wan Salim berkata ini kerana sepanjang PKP, masjid dan surau ditutup kepada umum sekali gus menyukarkan golongan tersebut yang sentiasa bergerak, menunaikan solat.

“Saya telah berbincang dengan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau di Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk tujuan ini,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mengambil inisiatif menyediakan ruang khas solat bagi pemandu teksi, pemandu e-hailing, penghantar makanan dan musafir ketika PKP.

Wan Salim turut menasihati umat Islam agar tidak mempertikaikan arahan pihak berkuasa yang melarang masyarakat beribadat di masjid dan surau ketika PKP memandangkan keputusan itu dibuat demi keselamatan diri serta keluarga masing-masing.

"Para ulama berwibawa di seluruh dunia telah bersetuju tentang hukum harus, malah wajib ke atas setiap individu Muslim berikhtiar untuk menghindari jangkitan wabak walaupun dengan tidak menghadiri buat sementara solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!