Lockdown keselamatan di Washington

Kawat berduri dipasang pada pagar keselamatan di sekeliling Capitol menjelang majlis angkat sumpah jawatan oleh Biden pada Rabu ini. - Foto AFP
Kawat berduri dipasang pada pagar keselamatan di sekeliling Capitol menjelang majlis angkat sumpah jawatan oleh Biden pada Rabu ini. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Langkah lockdown keselamatan mula dilaksanakan di pusat bandar Washington pada Khamis selepas lebih 20,000 anggota Pengawal Negara dikerah untuk berkawal susulan insiden pencerobohan di Capitol selain berdepan ancaman protes ganas ketika majlis angkat sumpah jawatan bakal Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Rabu ini.

Ketua Jabatan Polis Metropolitan Washington, Robert Contee berkata, ibu negara AS itu berdepan 'ancaman keselamatan utama' gara-gara tindakan terdesak penyokong Presiden Donald Trump yang cuba membatalkan keputusan untuk mengesahkan kemenangan Biden pada minggu lalu.

Difahamkan, lebih banyak sekatan didirikan dan pemasangan kawat berduri dibuat sehari selepas Kongres mengundi sebulat suara untuk memecat Trump buat kali kedua kira-kira seminggu sebelum penggal pentadbiran beliau di Rumah Putih berakhir.

Di bawah langkah berjaga-jaga yang tidak pernah dilihat sejak tragedi 9/11, sebahagian besar laluan di Washington juga dihadkan kepada kenderaan hingga mencetuskan perbandingan seperti kawalan keselamatan ketat di Zon Hijau yang menempatkan Kedutaan AS di Baghdad.

Awal minggu lalu, buletin dalaman Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran kumpulan penunjuk perasaan bersenjata merancang untuk menyerbu pejabat kerajaan di kesemua 50 negeri sebagai membantah pelantikan Biden.

"FBI menerima maklumat tentang rancangan kumpulan berhaluan kanan terbabit yang merancang untuk mencetuskan kekecohan di Washington pada Sabtu," ujar buletin tersebut.

Kebimbangan semakin meningkat selepas The Washington Post melaporkan puluhan individu yang berada dalam senarai pengawasan keganasan FBI juga menyertai perhimpunan kumpulan pro-Trump pada minggu lalu.

Bermula Sabtu hingga Rabu depan, pihak berkuasa turut meminta orang ramai supaya duduk di rumah dan tidak keluar meraikan acara pelantikan Biden bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beberapa hotel dan penginapan Airbnb juga sudah membatalkan tempahan serta syarikat penerbangan Delta mengumumkan peraturan ketat tidak membenarkan penumpang membawa senjata api walaupun mempunyai lesen sah.

Dalam perkembangan berkaitan, acara raptai pelantikan sumpah Biden yang dijadualkan pada Ahad telah ditunda atas kebimbangan keselamatan.

Politico menerusi laporan mereka menyatakan ia terpaksa diubah kepada Isnin ini malah pasukan bakal pengganti Trump itu juga membatalkan rancangan menaiki kereta api laju Amtrak dari Wilmington ke Washington sebagai langkah berjaga-jaga. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!