Covid-19: Penerbangan ke Sarawak dikurangkan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Kerajaan negeri Sarawak mengurangkan jumlah penerbangan ke negeri ini bermula esok (Sabtu) sebahagiannya disebabkan lonjakan kes Covid-19, menurut Menteri Pengangkutan negeri Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata alasan lain bagi pengurangan itu adalah bilangan bilik hotel yang terhad bagi tujuan kuarantin dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching dan Miri.

Kim Shin berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam (Khamis).

“Ia dibuat berdasarkan pelbagai sebab seperti PKPB di Kuching dan Miri yang telah diisytiharkan zon merah dari 13 hingga 26 Januari. Tambahan pula, bermula 16 hingga 29 Januari, PKP akan dikuatkuasakan di Bahagian Sibu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Untuk membantu syarikat penerbangan berdepan tempoh pandemik yang mencabar ini, setiap syarikat penerbangan akan diberi masa penerbangan berbeza bagi membolehkan mereka mendapat jumlah penumpang yang lebih baik, tambah beliau.

“Maklumat terbaru mengenai jadual penerbangan yang diluluskan JPBNS telah disebarkan kepada orang ramai melalui media sosial. Kami percaya orang ramai akan mengetahui sepenuhnya perubahan jadual penerbangan untuk membantu mereka mengatur rancangan perjalanan dengan lebih baik semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Kim Shin berkata berdasarkan keputusan JPBNS itu, kementeriannya telah memaklumkan kepada MAS, AirAsia, Malindo dan Maswings pada 14 Januari mengenai penerbangan yang diluluskan ke Sarawak.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar menempah atau membeli tiket penerbangan mereka berdasarkan jadual penerbangan terbaru yang diluluskan JPBNS yang dimuat naik di media sosial. Mereka juga boleh memeriksa jadual penerbangan terbaru di laman web Kementerian Pengangkutan, Sarawak di mot.sarawak.gov.my,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kim Shin berkata bermula 15 Januari jumlah penerbangan mingguan yang diluluskan dari Kuala Lumpur ke Kuching hanya 13 berbanding 28 ketibaan sebelum ini.

Ketibaan penerbangan mingguan yang diluluskan dari Kuala Lumpur ke Miri dikurangkan dari 19 kepada empat; dari Kuala Lumpur ke Bintulu, 10 kepada empat; manakala dari Kuala Lumpur ke Sibu dari lima kepada dua. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!