Pemuda Pas gesa tindakan tegas terhadap Anwar
SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengajak semua ahli Parlimen menderhaka dan menentang proklamasi darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata, tindakan terbaharu daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu boleh disifatkan sebagai usaha untuk menghasut rakyat mempertikaikan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda.
Katanya, Anwar yang dianggap sebagai seorang tokoh negara seharusnya bersikap lebih rasional dan perlu mengetepikan matlamat peribadinya ketika rakyat sedang berhadapan dengan wabak yang mengancam nyawa dan keselamatan mereka.
“Pemuda Pas menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mempertaruhkan nyawa rakyat merupakan pengkhianatan yang besar kepada Seri Paduka Baginda, negara serta seluruh rakyat jelata.
“Kami menggesa tindakan tegas diambil terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta mana-mana individu yang terus menerus menanam keraguan serta mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam mengekang wabak Covid-19,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook Dewan Pemuda Pas Malaysia pada Jumaat.
Menurutnya, perkenan proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong itu dilaksanakan atas pertimbangan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda berdasarkan situasi semasa yang dialami oleh rakyat seperti banjir dan pandemik Covid-19.
Menurutnya, pungutan suara yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan disertai hampir 120,000 responden juga menunjukkan bahawa majoriti rakyat bersetuju dengan pelaksanaan darurat.
“Rakyat melihat ini sebagai suatu tindakan yang wajar kerana kepentingan nyawa dan keselamatan lebih besar agendanya berbanding yang lain.
“Bukan mudah untuk rakyat menelan kepayahan ini, namun inilah hakikat yang perlu diakui bagi memastikan kestabilan yang lebih baik dalam tempoh yang bakal mendatang,” katanya.
Pada masa sama, Nazir turut mempersoalkan motif di sebalik cadangan gopoh Anwar untuk menolak darurat itu kerana ia langsung tidak disertakan dengan idea lain, selain daripada mendesak untuk diadakan persidangan Parlimen.
“Setakat hari ini, sudah lima orang ahli Parlimen dijangkiti wabak Covid-19. Masih perlukah sidang Parlimen diadakan? Apa muslihat Anwar mendesak persidangan Parlimen? Untuk jatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya?
“Tidak cukupkah kita dengan apa yang berlaku di Sabah selepas kerajaan dijatuhkan dan seluruh rakyat terpaksa menanggung akibatnya?” Soalnya.
Katanya, semua pihak ketika ini seharusnya berhenti berpolemik dan perlu bersatu hati meneruskan segala idea dan rancangan yang telah disediakna bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.
Tambah beliau, kerajaan juga telah bersikap terbuka dengan mengajak wakil Pembangkang untuk bersama dalam Jawatankuasa Khas Bebas yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan atau menghentikan darurat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!