Ruslan dilantik Ketua Pengarah JAWHAR
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan pelantikan Ruslan Said sebagai Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) berkuatkuasa 8 Februari 2019.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, Ruslan sebelum ini adalah bekas Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim.
Menurutnya, Ruslan pernah berkhidmat di beberapa bahagian di Jakim termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam.
“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Islam Negeri Ar-Raniry Aceh, Indonesia dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Beliau juga pernah mengikuti Kursus Khas Pegawai Hal Ehwal Islam di Muslim Collage London, Latihan Kepimpinan di Westminster College London Dan Senior Executive Development Programe (SEDP) di Singapura,” katanya.
Tambah Mohamad Nordin, berasaskan pengalaman luas dan kelayakan dimiliki Ruslan, Jabatan Perkhidmatan Awam memperakukan pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah JAWHAR.
“Diharapkan beliau dapat melaksanakan tugas dan amanah dengan cemerlang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!