Kerajaan diminta beri kelonggaran beberapa aktiviti perniagaan

Aktiviti perniagaan seperti pasar malam adalah dilarang sepanjang tempoh PKP. - Gambar hiasan
Aktiviti perniagaan seperti pasar malam adalah dilarang sepanjang tempoh PKP. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) merayu kerajaan mempertimbangkan kelonggaran beberapa aktiviti perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata, pihaknya tampil menyuarakan rayuan serta rintihan sebahagian besar ahli persatuan di enam negeri terlibat PKP.

Menurutnya, ia termasuk rayuan dalam kalangan peniaga daripada golongan B40 yang terlibat dalam sektor perniagaan pasar malam, kedai makan dan peniaga kecil.

"Sewajarnya perniagaan pasar malam dibenarkan beroperasi bagi memudahkan penduduk tempatan mendapatkan bahan masakan harian.

"Penganjur tapak pasar malam sememangnya berpengalaman untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diamalkan sejak mereka dibenarkan berniaga semula oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut diminta membuka sekatan larangan makan dalam kedai dengan memperketatkan SOP sedia ada.

"Benarkan peniaga membuka meja untuk pelanggan-pelanggan yang sentiasa bergerak dengan (menjaga) penjarakan dan hadkan bilangan tempat duduk.

"Selain itu, peniaga kecil yang mempunyai kedai tetap berkunci sendiri sama ada di dalam atau luar bangunan harus dibenarkan berniaga, sama seperti premis di kompleks perniagaan besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau berharap nasib penjaja dan peniaga kecil yang hilang mata pencarian diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

"Pihak kami menyokong agar ahli-ahli kami terus berdikari untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing dan tidak hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan," katanya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan perniagaan makanan dibenarkan beroperasi secara bungkus atau 'take away' dan tidak dibenarkan makan dalam kedai.

Sementara aktiviti perniagaan seperti pasar malam, bazar larut malam, kedai gunting rambut, refleksologi, salun dan spa adalah dilarang sepanjang tempoh PKP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!