NUJM minta sidang media dilakukan secara atas talian
SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) meminta semua sidang akhbar membabitkan agensi kerajaan dan swasta dilakukan secara atas talian dan menghadkan aktiviti itu secara bersemuka.
Presidennya, Farah Marshita Abdul Fatah berkata, langkah tersebut perlu diambil susulan daripada berlakunya kes positif Covid-19 dalam kalangan ahli Parlimen dan menteri Kabinet serta peningkatan kes harian yang mencecah lebih 3,000 kes sejak minggu lalu.
Malah, katanya, semua pihak perlu memberikan kerjasama yang baik kepada petugas media ketika dihubungi bagi mendapatkan sebarang komen serta penjelasan membabitkan sebarang isu.
“NUJM juga memohon kerjasama diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan di tempat awam, tinjauan serta diberikan pelepasan khas ketika melalui sekatan jalan raya.
“Perkara ini perlu dilakukan dan mendapat kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan penularan jangkitan dapat dibendung dan pada masa yang sama membolehkan para petugas menjalankan tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Farah Marshita berkata, penting untuk diingatkan bahawa petugas media yang mana peranan dan keselamatannya dilihat sering kali diabaikan itu merupakan antara golongan yang paling terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 ketika menjalankan tugas.
Tambah beliau, jumlah pengamal media yang semakin semakin berkurangan juga memberikan cabaran baharu apabila mereka bukan saja perlu membuat liputan membabitkan isu Covid-19, malah liputan banjir, politik, mahkamah dan jenayah.
“Oleh itu, adalah menjadi tugas NUJM untuk memastikan keselamatan serta kebajikan petugas media terjaga supaya maklumat yang terbaik dapat teruskan disalurkan kepada orang ramai.
“NUJM juga ingin mengingatkan semua petugas media supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi segala amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Mana-mana petugas media yang mempunyai gejala Covid-19 dinasihatkan untuk segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib,” katanya.
tamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!