PKP: Prosiding kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dalam talian
SHAH ALAM - Bagi memastikan kelancaran setiap kes yang dibicarakan, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor meneruskan inisiatif dengan melaksanakan sesi pendengaran secara atas talian pada Jumaat.
Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) dalam satu kenyataan berkata, Selangor turut menjadi negeri pertama yang menjalankan prosiding perbicaraan secara atas talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.
Menurut Jakess, sesi perdengaran yang berlangsung itu mendapat kebenaran daripada panel bersidang, Mohd Amran Mat Zain, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid dan Datuk Jasri @ Nasip Mat Jakir susulan situasi semasa kes Covid-19 di negeri ini.
"Sebanyak enam kes yang tarikh pendengarannya ditetapkan sebelum penguatkuasaan PKP telah berjaya dibicarakan menerusi sesi ini yang menggunakan aplikasi Google Meet.
"Bagi memastikan kes-kes tersebut tidak tertunggak pendengarannya di hadapan Hakim, maka ia diteruskan secara atas talian dengan persetujuan kedua-dua belah pihak yang tidak perlu hadir ke mahkamah secara fizikal," kata kenyataan tersebut pada Jumaat.
Sementara itu, kenyataan itu turut berkata, Jakess juga berjaya membangunkan prosedur operasi standard (SOP) dan mengendalikan pendengaran kes secara atas talian di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.
"Malah, Jakess turut memperkenalkan beberapa perkhidmatan lain secara atas talian seperti wakalah, afidavit, majlis sulh, sebutan dan pengurusan kes," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!