Kelantan, Sabah kongsi mata

Pemain Kelantan Raul Andres Tarrangona (kiri) diasak pemain Sabah Tae Su Park (tengah) pada saingan Liga Premier 2019 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini. - Foto Bernama
Pemain Kelantan Raul Andres Tarrangona (kiri) diasak pemain Sabah Tae Su Park (tengah) pada saingan Liga Premier 2019 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan bangkit daripada ambang kekalahan kedua untuk mengikat Sabah 3-3 pada perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Keputusan seri itu memberi kelegaan buat skuad bimbingan Marko Kraljevic yang sebelum ini tewas dalam aksi pembuka tirai liga kelas kedua, minggu lalu

Tuan rumah hanya memerlukan enam minit untuk berada di depan hasil tendangan penalti yang disempurnakan Flavio Beck Junior sekali gus menewaskan Rozaimie Rohim di pintu gol Sabah.

Sepakan tersebut diperoleh setelah pertahanan pelawat, Randy Baruh menjatuhkan pemain tengah tuan rumah, Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam usahanya menyelamatkan kubu akhir mereka daripada ditembusi.

Begitupun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila skuad yang tampil dengan jolokan baharu iaitu Tambadau berjaya menyamakan kedudukan, pada minit ke-12.

Penyerang import Serbia, Luka Milunovic bijak menghidu peluang apabila menanduk masuk hasil sepakan bebas rakan sepasukannya sekali gus mendiamkan sorakan 13,000 penyokong tuan rumah.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, anak buah Kraljevic pantas melancarkan serangan tetapi ketangkasan Rozaimie menafikan rembatan jarak dekat bek tengah, Mohd Shahrul Nizam Ros Hasni, empat minit kemudian.

Aksi selepas itu tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun masih gagal menghasilkan jaringan tambahan.

Artikel Berkaitan:

Peluang terbaik Sabah hadir pada minit ke-38 menerusi sepakan percuma Luis Junior yang menerjah jaring luar manakala Beck Junior membalas dengan percubaan liar, seminit sebelum babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, Kelantan tidak menunggu lama untuk kembali mendahului Sabah apabila gerakan berbahaya penyerang import, Raul Tarragona mencetuskan situasi kelam-kalut sekali gus membolehkan Nik Akif Syahiran menampan masuk gol kedua, pada minit ke-52.

Ternyata gol tersebut membangkitkan semangat juang The Red Warriors dan hampir menggandakan jaringan tetapi percubaan Beck Junior sedikit melewati palang pada minit ke-57 disusuli rembatan leret Mustafa Zazai diselamatkan Rozaimie, seminit selepas itu.

Minit ke-70 menyaksikan pelawat hampir menyamakan kedudukan namun tandukan deras Luis Junior sekadar menggegar palang ketika penjaga gol Kelantan, Abdul Arif Abdullah tertewas di posisinya.

Kerja keras skuad kendalian Jelius Ating membuah hasil apabila Maxsius Musa menyambar peluang terhidang dengan merembat masuk gol penyamaan, lapan minit kemudian.

Maxsius sekali lagi membuktikan ketajaman apabila menghukum kepincangan benteng pertahanan tuan rumah dengan merembat kencang untuk gol ketiga pasukannya, pada minit ke-86.

Kegembiraan Sabah hanya sementara apabila Muhd Danial Haqim Draman tampil selaku penyelamat maruah Kelantan dengan menolak masuk gol penyamaan berpunca sepakan percuma Beck Junior, dua minit sebelum wisel penamat dibunyikan.