Pasukan Liga-M giat berlatih dalam talian
PEMAIN pertahanan Pulau Pinang, Azmi Muslim menyifatkan persediaan pasukan kali ini lebih tersusun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun ketika ini hanya mengikuti program latihan dalam talian.
Jelasnya, pasukan dilihat lebih matang untuk mengharungi cabaran kali ini berbanding musim lalu selepas kali pertama tidak dibenarkan berlatih ekoran pandemik Covid-19 apabila seluruh negara dikenakan PKP bermula Mac 2020.
Namun, tahun ini agak berbeza kerana setiap individu masih diberi kelonggaran apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran untuk keluar berjoging mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan perkara itu sedikit sebanyak membantu pemain untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka.
“Macam tahun lepas, sudah tentu la kita masih terkejut apabila satu negara dikenakan PKP dan pasukan juga tidak dibenarkan berlatih, jadi perkara itu kita tidak jangka dan mengambil masa untuk kita sesuaikan diri.
“Tetapi tahun ini, kita sedar dengan situasi sekarang dan apabila sekali lagi dikenakan PKP, pasukan dan jurulatih sudah bersedia dengan segala program latihan untuk kami ikut dalam atas talian setiap hari.
“Semua memberi kerjasama yang baik untuk jurulatih sentiasa memantau latihan kami dan apa pun, saya rasa kami semua kena sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan.
“Bonus juga untuk kami apabila masih dibenarkan untuk keluar berjoging, jadi kami dapat juga buat beberapa larian yang diperlukan untuk memastikan tahap kecergasan tidak terjejas”, katanya.
Pulau Pinang antara enam negeri yang terbabit dengan PKP bermula 13 Januari sehingga 26 Januari termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah manakala enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sementara itu, pertahanan PJ City FC, Mahalli Jasuli, menjelaskan buat masa ini pasukannya mewajibkan semua pemain mengikuti latihan bersama secara dalam talian pada waktu pagi dan petang.
Baginya, situasi itu sekurang-kurangnya dapat memastikan pemain-pemain PJ City mengekalkan tahap kecergasan ekoran sebelum ini mereka tidak dapat mengadakan latihan bersama di padang kerana terdapat tiga jurulatih dan enam pemain disahkan positif Covid-19.
Ditambah arahan PKP yang dikuatkuasakan, Mahalli akui hanya latihan sebegitu dapat diteruskan sambil mengharapkan tempoh pelaksanaan PKP tidak akan berpanjangan selepas 26 Januari ini.
"Buat masa ini hanya latihan dalam talian menjadi pilihan dan bolehlah membantu kami saya serta rakan-rakan daripada tidak ada buat apa-apa langsung.
"Latihan pada waktu pagi dan petang, selain itu saya rasakan pemain juga kena disiplinkan diri sendiri bagi memastikan tahap kecergasan boleh kekal berada di tahap terbaik.
"Selepas ini, bila kami sudah boleh kembali jalan latihan, saya rasa semua pasukan juga kena ketatkan SOP dengan mungkin mewajibkan pemain serta pegawai jalani swab test (ujian calitan) sekali atau dua kali sebulan biarpun kalangan mereka tidak ada gejala," katanya.
Ketika ini, semua pasukan sedang giat melakukan persiapan rapi menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang akan bermula pada 26 Februari depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!