Dua gudang musnah terbakar
KUALA LUMPUR - Dua buah gudang iaitu gudang penyimpanan gas LPG dan gudang penyimpanan barang-barang logistik hardware terbakar dalam kejadian di Jalan Genpita 7, Taman Salak Selatan, di sini awal pagi Sabtu.
Komander Operasi Kanan Penguasa Bomba, Ishafari Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 kira-kira jam 12.46 pagi.
"Pasukan bomba daripada beberapa buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian antaranya BBP Sri Petaling dan jentera bantuan BBP Sungai Besi, BBP Seputeh, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Bukit Jalil, BBP Bandar Tun Razak, BBP Cheras dan PBS Desa Petaling dengan kekuatan 62 anggota.
"Kedua-dua gudang terbakar 100 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Ishafari berkata, tindakan pemadaman dijalankan pihak bomba dengan menggunakan teknik 'offensive fire fighting' untuk mengawal kebakaran.
"Seterusnya anggota menjalankan 'surface searching' untuk mengesan sekiranya terdapat mangsa yang terlibat.
"Terdapat enam pekerja lelaki iaitu empat warga tempatan dan dua warga asing berjaya keluar dengan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.53 pagi.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!