'Jangan berlebihan dalam perkataan, perbuatan hingga mengaibkan'

Muhammad Asyraf Muhammad Ridzuan - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Muhammad Asyraf Muhammad Ridzuan - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak berlebih-lebihan sama ada dalam perkataan atau perbuatan yang boleh mengaibkan orang lain khususnya di media sosial.

Pendakwah bebas, Muhammad Asyraf Muhammad Ridzuan atau Imam Muda Asyraf berkata, ada sesetengah orang yang menganggap apa dilakukan mereka dengan memperolok-olokkan orang itu sebagai kecil sedangkan ia sebenarnya besar di sisi ALLAH.

"Jika melihat kepada hadis-hadis, Nabi Muhammad SAW ada sebut tentang 'body shaming', jaga alat kemaluan dan lidah kamu. Kita faham dosa zina, dosa rogol tapi baginda letak segandingan dengan dosa lidah.

"Kamu anggap kecil tapi sebenarnya besar. Sebagai contoh dalam peperangan Tabuk, Nabi Muhammad pulang dan ada orang kata baginda begini begitu, badan perut buncit dan menyampaikan ketidakbenaran.

"Perkara itu sampai kepada Nabi Muhammad dan baginda tidak memaafkan. Nabi Muhammad sebut ayat ini, kemudian berdiam diri dan ini menggambarkan ada ketika kita ada had tertentu dan rasa susah hendak memaafkan, jadi kena hati-hati," katanya pada Wacana al-Quran Siri ke-65 bertajuk Hebatkah Jadi Pejuang Papan Kekunci? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Program itu turut menampilkan Aktivis kemanusiaan, penulis dan influencer parenting, Dr Taufiq Razif, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah al-Hujurat ayat 10-12.

Mengulas lanjut berhubung surah al-Hujurat ayat 10 hingga 12, Muhammad Asyraf berkata, surah itu banyak menceritakan tentang etika sosial pada masa dahulu di mana ada unsur komunikasi media penyampaian maklumat.

Menurutnya, di dalam al-Quran terdapat istilah berbeza, dinyatakan perkataan islah, perli, sarkastik, menjatuhkan, perkataan yang membunuh karakter menjadikan orang terduduk dan terdiam.

Artikel Berkaitan:

"Satu perkataan dalam tiga ayat itu, satu gelaran yang tidak digemari untuk dipanggil 'wahai munafik', 'wahai kafir', wahai sekian sekian yang mungkin orang tidak selesa.

"Turut disebut perkataan 'body shaming', sangka buruk, mencari-cari keburukan sehingga ada satu perkataan dibuat analogi seolah-olah kamu memakan daging saudara kamu sendiri. Inilah keindahan bahasa al-Quran," katanya.

Tegasnya, pesanan dalam surah al-Hujurat ini dilihat cukup kuat kepada orang beriman dan seolah-olah riba, mengumpat, celaan-celaan terhadap orang, panggilan-panggilan tidak baik, termasuk keyboard warrior melibatkan insan yang dikategorikan sebagai orang beriman.

Selain itu, Muhammad Asyraf menambah, al-Quran juga menyebut bahawa jangan duduk bersama orang-orang yang mempersendakan agama ALLAH, memfitnah dan mewujudkan huru hara.

"Jangan duduk bersama mereka, jangan kongsi maklumat, biarkan sahaja. Tetapi agama tidak suruh sisihkan terus orang tersebut, apabila dia sudah meninggalkan perbuatan itu dampingilah mereka semula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!