Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Salleh Abas

Ucapan takziah menerusi Facebook Istana Negara.
Ucapan takziah menerusi Facebook Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi Sabtu.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah, menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara, serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” menurut satu kenyataan menerusi Facebook Istana Negara pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Salleh Abas meninggal dunia

Tun Salleh Abas positif Covid-19

Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut, Terengganu menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket Pas pada 1999.

Allahyarham yang juga seorang daripada tokoh yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970, melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom (UK) pada 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Pada 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan dan tidak lama selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Salleh dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau kemudian pergi ke UK semula untuk memperoleh ijazah sarjananya dalam undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London.

Allahyarham kembali semula ke tanah air pada 1962, dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Jabatan Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara.

Allahyarham meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh dan lima anak serta 26 cucu. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!