Banjir termenung: Mangsa terus berlindung di PPS
JOHOR BAHRU - Banjir semakin pulih di negeri ini namun jumlah mangsa yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) tidak berubah, iaitu 93 orang daripada 32 keluarga sehingga jam 8 pagi pada Sabtu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, ini kerana kediaman mereka masih digenangi air banjir termenung biarpun cuaca panas dan tidak hujan.
"Jumlah mangsa banjir yang tinggal sama bilangannya seperti jam 4 petang semalam (Jumaat). Hanya tinggal dua daerah yang masih menempatkan mangsa banjir di dua PPS.
"Seramai 76 mangsa banjir melibatkan 20 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak di Segamat ditempatkan di Sekolah Agama Gemereh.
"Sementara 17 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga dari Kampung Talang Benut di Batu Pahat ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Benut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan laporan jabatan itu air pasang berlaku pada Sabtu iaitu di Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada jam 12.55 tengah malam dan 11 pagi dengan ketinggian 268 dan 191 meter (m).
Di Johor Bahru katanya, air pasang turut berlaku pada jam 1.59 pagi dan 1.15 petang (323 dan 321m) dan di Kukup, Pontian pula jam 1.42 pagi dan 12.59 tengah hari (273 dan 361m).
Vidyananthan berkata, bagi jalan yang terjejas pula hanya satu iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Seri Impian di Kluang berikutan tanah runtuh, susulan itu ditutup untuk laluan semua kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!