Peniaga zon bebas cukai Rantau Panjang berduka lagi
RANTAU PANJANG - Peniaga zon bebas cukai Rantau Panjang di sini yang baharu sahaja pulih dari bencana banjir minggu lalu kembali berduka apabila 'syurga' membeli belah itu terpaksa ditutup sekali lagi.
Penutupan 'syurga' membeli belah itu dibuat oleh peniaga susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini pada Sabtu selepas kes Covid-19 menunjukkan trend menaik.
Tinjauan Sinar Harian mendapati zon bebas cukai yang sebelum ini sibuk dengan urusan jual beli bertukar menjadi 'pekan koboi' selepas semua premis perniagaan ditutup.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pengerusi Persatuan Perniagaan Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah yang menyifatkan mereka sudah dua kali berdepan ujian duka awal tahun ini.
"Ujian pertama pada 7 Januari lalu apabila zon bebas cukai itu ditenggelami banjir.
"Baru sahaja kami hendak 'bernafas' selepas banjir surut (10 Januari lalu) PKP pula dikuatkuasakan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, situasi ini meninggalkan kesan yang amat perit untuk dilalui oleh peniaga di zon bebas cukai Rantau Panjang.
Tambahnya, hal ini kerana urusan niaga di zon bebas cukai merupakan sumber rezeki utama mereka dalam menyara keluarga.
Ramli berkata, bagaimanapun mereka terpaksa 'menelan' semua kepahitan itu kerana Covid-19 menyerang seluruh dunia.
Katanya, sebelum ini selain menguatkuasakan pematuhan SOP kepada kalangan pelanggan mereka juga berdoa agar pandemik ini segera lenyap.
"Jadi marilah kita semua patuh SOP dengan menjaga penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan sentiasa mencuci tangan dalam memutuskan rantaian Covid-19.
"Ini semua tanggungjawab kita dan diharap semua peniaga serta pelanggan akan berusaha mematuhi SOP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!