PKP: PPUMS cadang hadkan dua pelanggan semeja
SHAH ALAM - Persatuan Peniaga Usahawan Melayu Selangor (PPUMS) mencadangkan kerajaan agar dapat menetapkan peraturan bagi membenarkan hanya dua orang satu meja apabila makan di restoran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Presiden PPUMS, Mohamad Kamal Mohd Khalid berkata, menerusi cadangan itu, pihaknya berharap kerajaan mempertimbangkan kelonggaran operasi di premis restoran dan kedai makan dengan mematuhi arahan penjarakkan fizikal ditetapkan.
Menurutnya, langkah berkenaan pernah digunapakai sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini dan dilihat berkesan bagi membantu peniaga khususnya ketika penguatkuasaan PKP ini.
"Mungkin Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkara ini bagi membantu nasib peniaga yang terjejas sewaktu PKP ini dengan membuat ketetapan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Sewaktu pelaksanaan PKPB sebelum ini, kerajaan menetapkan peraturan dengan membenarkan hanya seramai empat orang satu meja sewaktu makan di restoran bergantung kepada saiz meja termasuk mengamalkan aspek penjarakkan fizikal.
Mengulas lanjut, Mohamad Kamal berkata, sejak Mac tahun lalu, pendapatan kebanyakan peniaga adalah tidak menentu malah penguatkuasaan PKP yang diumumkan baru-baru ini turut membataskan operasi di premis perniagaan mereka.
"Ramai pengusaha restoran dan kedai makan risau kerana keadaan mereka semakin teruk dengan pendapatan tidak menentu," katanya.
Beliau berkata, PPUMS juga akan menghantar surat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan beberapa kementerian lain bagi membawakan perkara ini ke MKN untuk dibincangkan lebih lanjut.
Sepanjang pelaksanaan PKP, sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 8 malam kecuali bagi aktiviti tertentu.
Penguatkuasaan semula PKP baru-baru ini adalah melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!