'Tolong buat SOP PKP berdasarkan sains'

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan ketidakseragaman menteri Kabinet ketika membuat keputusan berhubung pembukaan taman awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya keliru apabila terdapat pengumuman berlainan dibuat oleh dua menteri berbeza.

"(Pada Rabu) 13 Januari DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) arahkan semua taman awam ditutup. Ahli Parlimen KL (Kuala Lumpur) kemudian minta taman awam dibuka (pada hari yang sama).

"(Pada Khamis) 14 Januari, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kata tak boleh, taman awam mesti ditutup," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebookya.

Hannah berkata, bagaimanapun pada Jumaat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan taman awam boleh dibuka.

"Pengumuman dibuat oleh dua menteri yang berbeza, Kabinet yang sama, parti UMNO yang sama.

"Tolong buat SOP (prosedur operasi standard) berdasarkan sains. Jangan buat SOP sesuka hati.

"Ada pengalaman sejak Mac 2020 kenapa masih tak ada pembaikan? MKN (Majlis Keselamatan Negara) mesti selaraskan betul-betul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, penyelarasan merupakan perkara penting bagi memastikan PKP berjaya.

"Peraturan berlainan oleh setiap kementerian boleh mengakibatkan kekeliruan, ketidakpuasan dan ketidakpatuhan," katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pengumuman khas memaklumkan mengenai pelaksanaan PKP di beberapa negeri bermula 13-26 Januari susulan peningkatan kes Covid-19.

Susulan itu, DBKL menerusi kemas kini di laman Facebook pada Rabu turut mengumumkan penutupan taman-taman awam seliaan mereka selaras dengan penguatkuasaan PKP itu sehingga ke satu tarikh diumumkan kelak.

Antara taman-taman awam seliaan DBKL yang ditutup ialah Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan, menerusi satu kenyataan pada Jumaat DBKL memaklumkan taman awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dibuka kembali tetapi hanya untuk aktiviti sendirian sahaja.

"Jika tiada keperluan...duduk sahaja di rumah bersama insan tersayang...mereka lebih memerlukan dan menyayangi anda," menurut kenyataan dimuat naik di Facebook DBKL itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Taman awam seliaan DBKL dibenarkan buka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!