Henti polemik politik, tumpu bantu rakyat: Pemuda UMNO
SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa seluruh kepimpinan parti supaya menghentikan polemik politik dan memfokuskan usaha mereka untuk membela dan membantu rakyat yang semakin tertekan ekoran pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada masa ini, polemik politik yang berlaku di dalam mahupun luar parti merupakan perkara terakhir yang mahu didengari oleh rakyat.
Menurutnya, ini kerana pelaksanaan terbaharu PKP pada tahun ini adalah berbeza seperti yang dilakukan pada Mac tahun lepas kerana ia diburukkan lagi dengan proklamasi darurat yang sudah tentu akan membuatkan keadaan menjadi lebih meruncing.
“Rakyat terpaksa menghadapinya tanpa moratorium automatik, tanpa bantuan tunai yang besar, tanpa insentif gaji pekerja dan ditambah dengan bencana alam di beberapa negeri.
“Semua ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dalam menghitung hari-hari mendatang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Sehubungan itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO berpendirian bahawa partinya harus kembali kepada landasan yang asal dengan menjadikan mantra ‘Tradisi Membela Rakyat’ sebagai teras perjuangannya ketika ini.
Beliau berkata, kepimpinan UMNO sama ada di dalam mahupun di luar pentadbiran kerajaan mesti berusaha menuntut bagi pihak rakyat berkenaan perkara yang menyentuh kebajikan mereka.
“Antaranya, mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat dan kriteria, bantuan kebajikan rakyat musim PKP 2.0 sebagaimana PKP kali pertama dan lanjutan moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.
“Justeru, ketepikan seketika hiruk-pikuk politk dan polemik mengenai kuasa dan kedudukan, demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu membela rakyat dan membantu mereka yang benar-benar susah dan gelisah,” katanya.
Terdahulu, beberapa kepimpinan UMNO di peringkat bahagian telah membuat kenyataan yang meminta supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berehat daripada memimpin parti itu secara terhormat.
HENTIKAN POLEMIK POLITIK: FOKUS BELA DAN BANTU RAKYAT 1. Pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan musibah banjir buruk...
Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Saturday, January 16, 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!