Rombakan UMNO perlu disegerakan tahun ini
SHAH ALAM - Rombakan semula pucuk kepimpinan UMNO perlu dilakukan melalui pemilihan agung UMNO pada tahun ini.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, langkah itu penting bukan sahaja demi mengembalikan keyakinan ahli parti, bahkan untuk mengelakkan penolakan rakyat.
Menurutnya, suhu ketidakpuashatian akar umbi parti terhadap kepimpinan sedia ada kini semakin meningkat dan perlu diredakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Mengikut perlembagaan parti, UMNO memang perlu buat pemilihan agung pada tahun ini bagi mengakhiri tempoh penggal kepimpinan tahun 2018 hingga 2021
“Ia tidak salah kerana UMNO perlu ‘total revamp’. UMNO perlukan pasukan kepimpinan yang bukan hanya diterima oleh ahli tetapi diterima oleh rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap gesaan daripada akar umbi baru-baru ini yang meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berehat sementara.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang berkata, kluster besar dalam UMNO perlu berundur segera bagi mengelakkan kekalahan besar pada PRU14 berulang pada PRU15 nanti.
Kluster besar dalam parti Melayu itu dipercayai merujuk kepada pemimpin veteran UMNO yang sudah lama memegang jawatan dalam parti.
Namun, pemimpin-pemimpin ini dilihat masih enggan memberi peluang kepada pemimpin baharu parti.
Sentimen itu turut disokong Ketua Pemuda UMNO bahagian Subang, Mohd Alfie Zainal Abidin yang berpandangan pemilihan parti harus dipercepatkan demi kestabilan parti.
“Saranan terbaik untuk semua ahli UMNO ketika ini adalah dengan mendesak Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengadakan pemilihan parti secepat mungkin,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!