Pas, Clare tak jadi naik mahkamah
*PRESIDEN Pas, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan supaya kes samannya terhadap Clare Rewcastle Brown diselesaikan di luar mahkamah.
Saman sivil itu dibuat berhubung tuduhan berat Ketua Pengarang Sarawak Report itu bahawa parti Islam itu menerima sogokan RM90 juta.
Dalam laporannya Clare antara lain menyebut bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Rasak telah mendedak pemimpin Pas menggunakan wang yang disyaki dari 1MDB. Najib menafikan dakwaan tersebut.
Tuan Guru mulanya beria-ia hendak mengheret Clare ke mahkamah atas dakwaan memfitnah Pas, dan yakin akan menang dalam perbicaraan di London.
Maka ramai tertanya-tanya gerangan apa tiba-tiba sahaja Tuan Guru menyelesaikan saman berkenaan di luar mahkamah?
*KETIKA ramai tertanya-tanya mengapa Pas membatalkan hasrat melawan Clare di mahkamah, ramai pemimpin parti itu sendiri memuji tindakan Tuan Guru.
Mereka beranggapan penyelesaian di luar mahkamah adalah langkah terbaik dan paling wajar diambil dalam kemelut yang menjadi perhatian seluruh dunia itu.
Malah, seorang pemimpin parti itu yakin fitnah yang dibuat oleh Ketua Pengarang Sarawak Report itu akan dibalas oleh ALLAH di akhirat nanti.
Bagaimana pun ramai yang ingin melihat agar mana-mana pemfitnah dihukum sejak di dunia lagi, menerusi perbicaraan mahkamah.
*PERIHAL sogokan RM90 juta itu ternyata belum berakhir walaupun Tuan Guru telah bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah.
Memang belum berakhir, malah sesetengah pihak beranggapan isu dedak 1MDB RM90 juta itu sebenarnya baru bermula, dan akan terus menjadi tumpuan.
Seperti yang dilaporkan media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan berhubung RM90 juta disyaki dari 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.
Agensi anti sogok itu menegaskan akan menyiasat perkara berkenaan, sama seperti siasatan sebelum ini berkenaan 1MDB yang telah mengheret ramai individu, termasuk Najib ke muka pengadilan.
Siasatan SPRM tentu sekali dialu-alukan, kerana ini memberi peluang kepada Pas untuk membersihkan dirinya dari tuduhan berat menerima dedak 1MDB.
Seperti kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz: “Pas tidak tertekan, malah mengucapkan selamat datang kepada SPRM...”
Maka kes RM90 juta yang diselesaikan Tuan Guru di luar mahkamah itu belum tamat, sebaliknya mungkin akan jadi lebih panjang.
*PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama antara partinya dengan Pas bukan sandiwara atau main wayang.
Sebaliknya tegas presiden yang diminta bercuti itu gandingan dua parti itu adalah atas kepentingan politik dan keikhlasan demi kepentingan Islam, Melayu dan negara.
Malah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu yakin bahawa parti Islam itu kali ini benar-benar ikhlas bekerjasama demi mengangkat martabat serta kepentingan Islam.
Bagi kebanyakan orang, kerjasama Umno-Pas bukan benda baharu dan telah diuar-uarkan sejak sekian lama. Dulu-dulu lagi pun dia orang kata semuanya berdasarkan keikhlasan.
Tetapi, seperti yang dibuktikan sebelum ini, ada sahaja yang tidak ikhlas sehingga dua parti berseteru itu tidak kekal berganding bahu.
Umum telah lama menonton sandiwara atau wayang, jadi mereka pun tidak kisah sama ada wayang itu akan menjadi ‘soap opera’ atau sekadar siri ‘Maharaja Lawak’. Lagi pun orang kita memang suka menonton.
*BERKATA pula mantan Presiden Umno, Najib, bahawa Pas dan Umno mampu meraih lebih 30 kerusi untuk merampas semula Putrajaya, pada PRU15 nanti.
Menurut mantan Perdana Menteri itu sekiranya Pas dan Umno masing-masing ikhlas mengeratkan persefahaman politik, akan dapat menjadi kerajaan dengan kerjasama parti lain di Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu bila kita lihat keputusan PRU14 lalu, lebih dari 30 kerusi Parlimen boleh dapat kepada Umno dan Pas jika kita ada persefahaman politik yang erat ketika itu.
“30 kerusi dan campur lagi dengan puak-puak kita di Sabah dan Sarawak, kita boleh tubuh kerajaan,” kata Najib dalam satu dialog bersama penyokong Umno dan Pas di Langkawi.
Adapun PRU15 lama lagi. Kita pun tidak tahu apa akan jadi pada Umno, pada Pas, dan pada Najib sendiri.
*AKHIR kalam, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, parti terbesar orang Melayu itu boleh bangkit semula dengan kembali kepada perjuangan asal, dan buang sikap bongkak dalam diri. Sikap angkuh dan sombong itulah yang menyebabkan Umno ditolak oleh rakyat pada PRU14.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!