Peralihan kuasa secara aman?

Trump (kiri) akan digantikan dengan Biden yang akan mengambil alih pentadbiran Rumah Putih pada Rabu ini. - AFP
Trump (kiri) akan digantikan dengan Biden yang akan mengambil alih pentadbiran Rumah Putih pada Rabu ini. - AFP
A
A
A

TINGGAL tiga hari lagi menjelang majlis pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46 akan berlangsung di Capitol, Washington yang kini menjadi tumpuan dunia sama ada ia boleh berlangsung dalam suasana aman dan lancar.

Pada Rabu ini, Joe Biden, 78, bakal mengangkat sumpah jawatan dengan kawalan keselamatan ketat yang menyaksikan lebih 20,000 Pengawal Negara dikerah untuk berkawal di sekitar Washington.

Bekas Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden ke-44 AS, Barack Obama menyatakan situasi itu menyamai kawalan keselamatan paling ketat ketika Abraham Lincoln mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden ke-16 AS.

Tanpa berselindung, beliau juga menyatakan rasa sedih kerana majlis tersebut akan berlangsung di bawah langkah berjaga-jaga selepas ribuan penyokong Presiden AS, Donald Trump melancarkan rusuhan ganas di bangunan yang turut menempatkan Dewan Kongres AS.

Insiden yang disifatkan sebagai serangan ke atas demokrasi Amerika itu berlaku gara-gara ucapan Trump yang seakan-akan menghasut selepas beliau mendakwa berlaku penipuan undi semasa Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November tahun lalu walaupun beliau tidak dapat membuktikan dakwaan tersebut di mahkamah.

Para penyokongnya yang termakan hasutan beliau bertindak menceroboh Capitol selepas merempuh penghadang dan kawalan keselamatan polis sehingga menjejaskan pengiraan undi elektoral sekali gus menyebabkan kelewatan pengumuman kemenangan Biden oleh Kongres.

Susulan insiden rusuhan itu, Dewan Perwakilan yang dikuasai parti Demokrat meluluskan undian bagi membolehkan Trump didakwa di Dewan Senat atas tuduhan menghasut para penyokongnya melakukan rusuhan dan berdasarkan perkembangan semasa pendengaran dakwaan tersebut kemungkinan berlaku selepas majlis angkat sumpah jawatan AS.

Persoalan kini timbul iaitu adakah majlis angkat sumpah itu yang diadakan ketika pandemik Covid-19 yang meragut nyawa lebih 380,000 penduduk negara tersebut akan berlangsung secara aman? Isu itu dibangkitkan ekoran rusuhan tersebut pada 6 Januari lalu sehingga ramai pemimpin negara di dunia termasuk Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volkan Bozkir, Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menzahirkan rasa terkejut dengan insiden yang mencalarkan imej AS.

Artikel Berkaitan:

Beberapa anggota Pengawal Negara mengawal bangunan Capitol di Washington baru-baru ini. - AFP
Beberapa anggota Pengawal Negara mengawal bangunan Capitol di Washington baru-baru ini. - AFP

Persoalan lain yang juga timbul ialah, adakah benar janji Trump bahawa peralihan kuasa itu akan berlaku secara aman selepas beliau menjadi punca rusuhan ganas di Capitol? Menurut portal berita VOA baru-baru ini, Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser meminta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS menyelaraskan usaha bagi menubuhkan sebuah pasukan keselamatan untuk melindungi semua harta benda persekutuan ketika acara penting itu berlangsung.

Ketika ini, tahap keselamatan ketika majlis itu berlangsung menjadi persoalan penting dengan Perkhidmatan Rahsia AS dikatakan menyasarkan misi sifar fail dan tiada tiket percuma diberikan kepada orang ramai yang mahu menyaksikan hari bersejarah tersebut kali ini ekoran ancaman pandemik Covid-19 yang masih tinggi.

Trump juga sudah mengesahkan tidak akan hadir pada majlis angkat sumpah jawatan itu sekaligus menjadikan beliau sebagai Presiden AS yang pertama berbuat demikian dalam tempoh 152 tahun dalam sejarah negara tersebut.

Menurut portal berita CBS, beliau merupakan Presiden keempat di AS yang tidak hadir dalam majlis itu yang turut menyaksikan Kamala Harris sebagai wanita pertama mengangkat sumpah jawatan Naib Presiden AS.

Bagaimanapun, menurut National Public Radio (NPR) di Amerika, terdapat lima Presiden AS yang tidak akan menghadirkan diri dalam majlis angkat sumpah jawatan pengganti mereka tetapi senarai itu tidak termasuk Trump.

Majlis pelantikan Presiden paling tua memerintah AS itu akan turut dihadiri beberapa pemimpin agama dan dimeriahkan dengan persembahan artis antaranya Lady Gaga, Jennifer Lopez, Jon Bon Jovi, Bruce Springsteen serta Justin Timberlake.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!